Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kuala Lumpur terhadap dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam syarikat kereta nasional, Proton sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Xavier Jayakumar kepada Penolong Kanan Pesuruhjaya II, Abu Zubir Mahfoz kira-kira jam 11.30 pagi tadi.Hadir sama ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan beberapa pemimpin kanan lain.

"Akhbar The Edge dan New Straits Times pada 31 Julai lalu mendedahkan laporan audit Price Waterhouse Coopers di mana didakwa telah berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa serta salahurus tadbir oleh pengurusan/individu tertentu dalam Proton.

"Menurut laporan itu, hanya dua individu yang membuat beberapa keputusan besar yang membabitkan pelaburan ribuan juta ringgit tanpa mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Proton

"Kelulusan Lembaga Pengarah hanya diperolehi selepas keputusan dibuat atau penjanjian ditandatangani oleh pihak pengurusannya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada BPR pagi tadi.

Dr Xavier berkata, PKR mendakwa berlaku penyelewengan dan ketidaktelusan serta salahurus tadbir dalam transaksi pembelian dan pelaburan yang membabitkan MV Augusta, pelaburan di China, PT Tracoma dean pembelian Lotus Group International Limited.

Parti itu juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam kos pembinaan dan peralatan pembinaan kilang Proton di Tanjong Malim, kos dan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kos perundangan dan pengurusan penambaikan operasi.

Beliau mendakwa, disebabkan tiada ketelusan, individu tertentu telah melakukan penyelewengan dalam sumber kewangan Proton, dan pecah amanah.

Tindakan segera

"BPR perlu segera mengambil tindakan terhadap bekas pengurusan Proton berkenaan yang melakukan salahurus tadbir, rasuah dan penyelewengan.

"Tindakan segera perlu diambil kerana Proton adalah syarikat milik kerajaan yang dibiayai menggunakan wang rakyat," katanya lagi.

Sementara itu, Tian Chua berkata, BPR tidak mempunyai alasan lagi untuk tidak melakukan siasatan kerana laporan yang dibuat oleh PKR itu merupakan laporan awam.

Beliau berkata, Abu Zubir sendiri mengakui laporan tersebut mempunyai asas yang cukup untuk membolehkan BPR memulakan siasatan.

Katanya, sebagai sebuah badan bebas, BPR tidak perlu menunggu arahan daripada pihak atasan sebelum membuat siasatan terhadap kes itu.