Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital sementara di Penjara Sg Udang akan dibuka untuk banduan positif Covid-19

Sebuah hospital sementara akan dibuka di Penjara Sungai Udang di Melaka, sebagai persediaan sekiranya berlaku peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan banduan di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka Rahmad Mariman berkata hospital sementara itu mampu menempatkan 60 hingga 80 orang penghuni penjara, khususnya mereka yang berisiko rendah dan terlibat dengan jenayah ringan sekiranya mereka dikesan positif jangkitan Covid-19.

Beliau berkata persediaan itu dilakukan kerana Hospital Melaka, yang berfungsi sebagai hospital merawat pesakit Covid-19 di negeri itu, hanya mampu menampung 14 banduan dalam satu masa.

"Semalam, saya melakukan lawatan ke Penjara Sungai Udang dan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Melaka dan Jabatan Penjara bagi melihat persediaan di penjara itu untuk menghadapi peningkatan kes positif Covid-19, khususnya melibatkan penghuni penjara, sekiranya ia berlaku.

"Kita baru menerima kira-kira 300 banduan di penjara itu dan mereka telah pun menjalani ujian calitan bagi mengesan jangkitan Covid-19 serta diasingkan daripada banduan sedia ada di Penjara Sungai Udang," katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri hari ini.

Menurut Rahmad, dua lagi lokasi dikenal pasti untuk dijadikan hospital sementara iaitu Pusat Koreksional Jasin dan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Alor Gajah sekiranya hospital sementara di Penjara Sungai Udang penuh.

Terdahulu beliau menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka ​​​​​​sempena sambutan Hari Lahir Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS