Lima termasuk empat sekeluarga rentung dalam kebakaran membabitkan lima buah rumah di Kampung Delek Kanan, Klang awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 pagi.

Seramai 34 anggota dan pegawai bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Andalas bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan lima pintu rumah berderet setingkat keluasan keseluruhan 100 x 20 kaki persegi bangunan kelas B dan kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan oleh pihak bomba. Anggaran kemusnahan adalah 90 peratus," katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata, pihaknya menemui lima mangsa - empat lelaki dan seorang perempuan - yang rentung dalam kebakaran itu.

"Terdapat satu mangsa lelaki di rumah pertama, (iaitu) warga Kemboja manakala empat sekeluarga di rumah kedua terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan (suami), seorang wanita (isteri warga Kemboja), seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki," katanya.

Katanya lagi, kebakaran dapat dikawal pada jam 4.20 pagi, bagaimanapun kerja-kerja pemadaman masih berjalan.