Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh Omar tarik diri dari PAC
Diterbitkan:  Nov 4, 2020 6:53 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar mengumumkan menarik diri daripada menjadi ahli Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara (PAC).

Kata Noh, hal itu telah telah pun dia maklumkan kepada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam dan telah menghantar surat rasmi berkenaan hal itu pada jam 10 pagi tadi.

“Saya secara sukarela mengumumkan penarikan diri sebagai ahli PAC berkuat kuasa serta merta.

“Semoga PAC akan terus memainkan peranan dalam memastikan tadbir urus kewangan negara berjalan dengan lancar dan teratur,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu di Facebooknya.

Pun begitu, kata Noh, dia tetap menzahirkan ucapan terima kasih buat Ahmad Zahid yang juga presiden Umno, atas pencalonan dirinya sebagai ahli jawatankuasa itu.

Semalam, Dewan Rakyat mengesahkan pelantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh sebagai pengerusi PAC yang baru; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun sebagai naib pengerusi serta 12 ahli PAC termasuk empat wakil rakyat pembangkang.

Selain Noh, ahli parlimen kerajaan yang dipilih menganggotai PAC kali ini Ahli Parlimen Sabak Bernam Mohd Faisah Mohd Fakeh; Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Jelebu, Jalaludin Alias; Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Suani; Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Ahli parlimen pembangkang yang dilantik menganggotai PAC pula ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Lumut Mohd Hatta Md Ramli; Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad dilantik sebagai pengerusi PAC sebelum melepaskan jawatan apabila kerajaan PH tumbang, selepas dipilih sebagai menteri pengajian tinggi di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ketika era pentadbiran PH, Noraini merupakan antara tiga ahli parlimen pembangkang yang menjadi ahli PAC bersama Ahli Parlimen Jasin Ahmad Hamzah dari BN, dan Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan mewakili PAS.

Lihat Komen
ADS