PRN baru tak selesai kemelut Negeri Sembilan - Isam Isa
Bendahari Umno Negeri Sembilan Isam Isa berkata pilihan raya negeri (PRN) baru tidak akan menyelesaikan kemelut politik di negeri itu dan menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang sebelum akhir tahun ini untuk membentangkan Belanjawan 2027.
Ahli Parlimen Tampin itu berkata demikian ketika kerajaan negeri masih menunggu perkenan istana untuk mengadakan sidang DUN, manakala Ismail Lasim terus menjalankan tugas sebagai menteri besar meskipun status peletakan jawatannya masih menjadi persoalan.
“Memang kita kena segerakan sebab kita perlu mengadakan sidang dewan, terutamanya untuk bajet. Kita mesti lakukan tahun ni, sebelum tahun depan.
“Kalau bulan Februari kita tak bersidang, terbubar sendiri. Pilihan raya bukan jalan untuk menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/91dcbc4e0f0ee4526c80aa0e486247b4.jpg)
DUN Negeri Sembilan kali terakhir bersidang pada 18 Ogos lalu, ketika ia meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan berjumlah RM40.35 juta. Tempoh enam bulan dari tarikh itu genap pada 18 Februari depan.
Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan bahawa sela antara sidang terakhir dalam satu penggal dengan sidang pertama penggal berikutnya tidak boleh mencecah enam bulan. Peruntukan itu tidak menetapkan pembubaran automatik jika had tersebut dilanggar.
Kerajaan negeri mencadangkan sidang DUN dibuka pada 26 Nov, disusuli pembentangan Belanjawan 2027 keesokan harinya, tertakluk pada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail berkata awal bulan ini bahawa persiapan untuk membentangkan belanjawan itu sudah selesai.
Tunggu keputusan istana
Isam, yang turut hadir pada sidang media bersama Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias di Seremban pada Selasa, berkata Umno negeri akan menghormati apa jua keputusan Tuanku Muhriz.
Katanya, Umno negeri juga bersyukur sekiranya Ismail dipilih semula sebagai menteri besar.
“Pentadbiran harus berjalan seperti biasa agar rakyat di Negeri Sembilan dapat menikmati pembangunan ataupun apa yang telah kita janjikan dalam pilihan raya yang lepas,” katanya.
Pada Isnin, Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir mengumumkan bahawa Ismail telah mengemukakan peletakan jawatannya.
/file/attachments/orphans/MediaMBNSasdad_288851.png)
Keesokan harinya, istana memaklumkan bahawa seorang wakil firma guaman telah menyerahkan surat yang dikatakan surat peletakan jawatan Ismail. Istana berkata kesahihan surat itu belum disahkan dan peletakan jawatan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Ismail memberitahu Malaysiakini pada Selasa bahawa Ismail tidak meletakkan jawatan atau menyerahkan surat kepada istana.
Semalam, setiausaha akhbar Ismail berkata Ismail masih menjalankan tugas seperti biasa. Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pula mengesahkan gabungan itu telah mengemukakan satu nama kepada istana sebagai calon pengganti Ismail.
Negeri Sembilan berdepan kemelut pentadbiran sejak Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 exco pada September, menyebabkan kerajaan negeri beroperasi tanpa barisan exco lengkap.
Minggu lalu, Ismail dan 10 bekas exco itu menarik balik bantahan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar. Semalam, bekas exco terbabit turut menarik balik tindakan mahkamah yang mencabar pembatalan pelantikan mereka.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/5644546_490446.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.