mk-logo
Berita
Banduan nyanyi lagu doakan petugas kesihatan
Diterbitkan:  Nov 4, 2020 11:26 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

Banduan Penjara Alor Setar menyanyikan lagu yang memuji petugas barisan hadapan sebagai "wira penjara yang berkorban nyawa demi negara, bangsa dan agama."

Lirik lagu itu mendoakan: "Ya Allah Ya tuhanku rahmatilah mereka, wira-wira penjara yang menggadaikan nyawa." 

Nyanyian itu sebagai tanda penghormatan kepada petugas kesihatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Penjara Alor Setar dan kuarters berakhir semalam.

Satu klip video rakaman nyanyian itu tular di media sosial dan turut dikongsi Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

"Setelah selesai menjalankan tugas mereka keluar diiringi nyanyian daripada banduan-banduan menghargai keringat dan titik peluh setiap petugas,” katanya pada petikan yang disertakan pada klip itu.

Video itu memaparkan sekumpulan orang berbaju biasa dan memakai penutup muka keluar dari pagar penjara.

Ketika mereka mengorak langkah pergi, nyanyian banduan menjadi seakan lagu perpisahan: "Ya Allah Ya tuhanku ampunilah mereka dari masa ke masa sedang bertarung nyawa."

Penjara Alor Setar berada di tengah-tengah Kluster Tembok dan diletakkan di bawah PKPD dari 6 Oktober hingga 2 November.

Kluster Tembok adalah kluster Covid-19 terbesar ketiga setakat ini di Malaysia dengan 1,753 kes dikesan, termasuk lapan kes baru hari ini, daripada 9,056 orang yang diuji.

Daripada jumlah itu, 304 kes masih menerima rawatan, termasuk empat di unit rawatan rapi.

Kluster ini pertama kali dikesan selepas seorang pegawai penjara mula menunjukkan gejala Covid-19 pada 21 September dan meninggal dunia pada 28 September.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS