Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengusaha bot pelancong di Sabah terpaksa jual aset

Seorang pengusaha bot pelancong di Sabah terpaksa menjual beberapa aset untuk bertahan daripada terus 'menggulung tikar' atau menutup perniagaannya kerana terjejas akibat penularan Covid-19.

Pengarah Syarikat Nadzwa Travel and Tour Sdn Bhd Julmisil Abdullah berkata ketiadaan pelancong berkunjung ke Sabah dan menggunakan perkhidmatan bot untuk ke pulau-pulau peranginan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan Mac lepas memaksa dia berbuat demikian.

"Dalam keadaan sekarang, ramai pengusaha bot termasuk saya terpaksa menjual aset untuk bertahan. Kalau tidak menjual aset, kami tidak dapat bertahan lagi, mungkin akan gulung tikar.

“Saya sudah menjual sebuah bot dan sebuah kereta. Hasil jualan kedua-dua aset itu digunakan untuk menampung pembayaran gaji pekerja, bayar sewa premis, pejabat dan stor, selain turut digunakan untuk menampung keperluan keluarga saya," katanya ketika ditemui Bernama di Kota Kinabalu, semalam.

Julmisil, 40, yang menjalankan perkhidmatan bot pelancong sejak tahun 2000 berkata jika sebelum ini pada kebiasaannya dia mampu mendapat hasil pendapatan dianggarkan sehingga RM15,000 sebulan, namun, tahun ini jauh berbeza apabila langsung tidak ada pendapatan diperoleh.

Justeru, Julmisil berharap kerajaan dapat memberi bantuan kepada golongan sepertinya bagi membolehkan mereka bertahan kerana tanpa sokongan modal atau insentif daripada kerajaan berkemungkinan sukar untuk mereka beroperasi pada masa akan datang.

"Bayangkanlah dari awal Januari kehadiran pelancong luar ke Sabah berkurangan, yang ada hanya pelancong tempatan.

“Di Sabah ramai pengusaha bot, mengharapkan pelancong tempatan saja tidak dapat membantu menampung segala perbelanjaan operasi," katanya, yang mempunyai seramai 24 pekerja terdiri daripada pemandu bot, kru, pemandu van dan beberapa pengurus.

Julmisil berkata setakat ini, belum ada sebarang bantuan diterima daripada kerajaan, namun, dia telah membuat permohonan untuk mendapatkan Geran Khas Prihatin.

Sementara itu, seorang pemandu bot pelancong Muhamirin Saratal, 44, berharap kerajaan Sabah dapat memberi insentif dan bantuan kewangan kepada golongan pemandu-pemandu bot seperti yang diperoleh oleh pemandu van pelancong di negeri itu.

Muhamirin berkata dia tidak mempunyai mata pencarian lain dan hanya bergantung sepenuhnya dengan pekerjaan sebagai pemandu bot pelancong sejak 2001, namun, pendapatannya terjejas kerana perkhidmatan bot tidak dapat beroperasi ketika ini.

“Kebiasaannya, saya boleh memperoleh pendapatan lebih RM2,000 sebulan. Tetapi keadaan sekarang, langsung tidak dapat menjana pendapatan,” katanya yang mempunyai empat anak.

Seorang lagi pemandu bot pelancong, Azri Sirun, 40, turut meluahkan perkara dan harapan yang sama agar kerajaan negeri dapat memberi bantuan insentif kewangan kepada mereka.

Walaupun kerajaan menyalurkan bakul makanan, namun ia tidak mencukupi kerana bantuan kewangan masih diperlukan untuk perbelanjaan lain termasuk membayar bil, katanya.

Terdahulu, kesemua mereka mengadakan perjumpaan dengan Adun lantikan Dr Aliakbar Gulasan di dataran Jesselton bagi menyampaikan beberapa permasalahan dan isu berbangkit seperti moratorium bayaran sewa premis di terminal bot berkenaan.

Pada majlis itu, Aliakbar turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada pengusaha dan pemandu bot pelancong berkenaan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS