Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM syorkan MP, petugas parlimen buat ujian swab setiap dua minggu

Kementerian Kesihatan mengesyorkan agar semua anggota parlimen dan petugas yang mempunyai urusan rasmi di parlimen menjalani ujian swab Covid-19 setiap dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa ini adalah untuk memastikan bahawa mereka semua bebas Covid-19.

"Kebimbangan kita kerana ahli-ahli parlimen ini dari seluruh negara.

"Walaupun mereka dah jalani saringan tiga hari sebelum (parlimen bersidang), tapi mereka terdedah di komuniti.

"Kalau sekarang ini kawasan PKPB Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. Jadi mereka boleh terdedah kes-kes positif yang tak bergejala contohnya.

"Jadi sekarang dah syorkan ujian setiap dua minggu," katanya.

Noor Hisham berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai langkah pencegahan Covid-19 yang baru dilaksanakan di parlimen untuk sesi Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Awal hari ini, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengeluarkan kenyataan yang menyenaraikan langkah-langkah baru, yang termasuk mengehadkan jumlah anggota parlimen 80 orang pada waktu tertentu, dan memendekkan waktu persidangan kepada pukul 10 pagi hingga 2 petang setiap hari.

Menurut Noor Hisham, keputusan untuk mengehadkan jumlah anggota parlimen di dalam Dewan Rakyat dibuat untuk memperbaiki prosedur yang ada, yang sudah termasuk jarak fizikal dan pemasangan cermin penghadang antara anggota parlimen.

KKM juga mengambil kira jumlah pegawai lain yang diperlukan untuk membantu anggota parlimen dalam membuat keputusan, katanya.

"Sekiranya setiap ahli parlimen mempunyai satu pembantu, sudah ada lebih dari 400 orang. Selain itu, ada anggota parlimen lain.

"Jadi jumlahnya sangat besar. SOP ada, tetapi kita dapat tingkatkan lagi SOP," katanya.

Lihat Komen
ADS