GLOBAL | Pentadbir Suruhanjaya Pilihan Raya Wisconsin, Megan Wolfe, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai penipuan atau pelanggaran peraturan.

"Kami buat masa ini belum terima apa-apa laporan mengenai sebarang pelanggaran peraturan," kata Wolfe, menurut Agensi Sputnik.

Sebelum ini, peguam Donald Trump, Rudy Giuliani, pada sidang media berkata mereka akan menyaman bandar raya Philadelphia dan memfailkan tuntutan mahkamah di Wisconsin kerana mendakwa berlaku penipuan oleh Parti Demokrat.

Pasukan peguam Trump juga mengemukakan tuntutan mahkamah di Nevada.

Kumpulan Trump menuduh kira-kira 10,000 pengundi tetap mengundi di Nevada walaupun tidak lagi tinggal di negeri itu.

Undang-undang Nevada melarang individu yang tidak berada di negeri ini selama 30 hari sebelum hari pilihan raya untuk mengundi.

- Bernama