Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Alasan naik gaji Adun dan exco tak munasabah, kata PKPIM Kelantan
Diterbitkan:  Nov 6, 2020 10:34 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Wabak Covid-19 bukan saja menjejaskan kehidupan orang ramai, malah memberi kesan besar kepada dunia pendidikan, kata Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kelantan.

Justeru, kata pertubuhan itu, keutamaan kerajaan negeri sepatutnya diberikan kepada kesukaran keluarga tidak berkemampuan menampung kos pembelajaran.

Selain itu, kata Yang Dipertua PKPIM Kelantan, Muhammad Aqil Iqbal Mohd Zulkiffli, kerajaan negeri perlu mewujudkan peluang pekerjaan lebih banyak bagi menangani pengangguran yang kian meningkat.

Justeru katanya tindakan kerajaan negeri menaikkan gaji wakil rakyat dan exco kerajaan di Kelantan tidak boleh diterima.

"PKPIM Kelantan juga berpendapat keperluan untuk menaikkan gaji wakil rakyat bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji dengan wakil rakyat negeri lain adalah tidak munasabah.

"Pihak kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan belanjawan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat terutama bagi golongan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta memberi insentif tambahan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa berdedikasi untuk menjaga rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan, Adun dan exco Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, berkata kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Malah katanya, wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka. 

Aqil Iqbal berkata PKPIM Kelantan menggesa agar kerajaan negeri mengutamakan bantuan pendidikan pada semua peringkat dalam perancangan belanjawan tahun depan.

"Pemimpin seharusnya menjadi teladan yang baik kepada rakyat terutama semasa menjalankan amanah membangunkan rakyat.

"Semoga Negeri Kelantan terus diberkati dan dirahmati serta dijauhkan dari pemimpin yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Lihat Komen
ADS