BELANJAWAN 2021 | Pemimpin politik dari kalangan masyarakat India memberi pandangan mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat, petang tadi.

Menurut Ahli Parlimen Batu dari PKR, P Prabakaran, tiada yang istimewa dalam belanjawan kali ini selain memberi memberi tumpuan khas kepada pandemik Covid-19.

"Bagi saya tiada apa yang istimewa dalam belanjawan ini. Cuma kerajaan memberi tumpuan kepada pandemik Covid-19.

"Saya menyambut baik dana kepada barisan hadapan, golongan kurang upaya, kemudahan internet dan sektor pendidikan.

"Pada masa yang sama, saya juga berasa pelik dengan peruntukan RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jasa (unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, kerajaan PN mengumumkan peruntukan RM85.5 juta kepada Jasa di bawah Belanjawan 2021.

Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan kedua sebanyak RM81.5 juta di bawah dasar baru.

Jumlah kedua-duanya, iaitu RM85.5 juta dikatakan merupakan peningkatan 185 peratus daripada RM30 juta yang diperuntukkan kepada jabatan itu oleh kerajaan BN di bawah Belanjawan 2018.

"Saya juga terkejut peruntukan RM725 juta untuk membaik pulih 50 sekolah daif. Nampaknya, setiap sekolah akan dapat lebih kurang RM14.5 juta. Banyak juga RM14.5 juta untuk membaik pulih satu sekolah," katanya.

Tambah Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan itu, belanjawan kali ini lebih kepada sasaran jangka masa pendek berbanding pasca Covid-19.

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas pasca Covid-19. Ada yang ramal kemelesetan ekonomi.

"Jadi, apa tindakan atau jaminan kerajaan dalam belanjawan ini jika berlaku kemelesetan ekonomi.

"Saya tak nampak apa-apa," katanya.

Belanjawan manifesto Muhyiddin

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor V Ganabatirau menggambarkan belanjawan ini sebagai "belanjawan manifesto kerajaan Muhyiddin".


"Secara umumnya, ini belanjawan paling besar pernah dibentangkan setakat ini. Kerajaan banyak memberi tumpuan kepada golongan B40 sahaja. Bagaimana masa depan M40 dan T20? Pendapatan mereka turut terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Nampaknya, kerajaan cuba umpan golongan B40 ini sekiranya ada pilihan raya dalam masa terdekat.

"Perlu faham, kita tidak boleh terus memberi ikan kepada golongan ini, perlu mengajar mereka cara menangkap ikannya," katanya.

Menurut Adun Kota Kemuning itu, tiada pengumuman lanjutan moratorium satu lagi kekecewaan bagi rakyat.

"Banyak yang jangka akan ada pengumuman moratorium, tapi tiada apa-apa. Pelepasan cukai dan beberapa pengumuman berhubung cukai tidak banyak bantu.

"Impaknya sangat rendah," katanya sambil menyambut baik dana kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bantuan Prihatin Rakyat, serta inisiatif untuk membuka peluang pekerjaan dan membantu golongan OKU.

Namun, beliau meramalkan bahawa bantuan-bantuan ini sukar dilaksanakan jika kitaran ekonomi terjejas.

"Kami bakal menghadapi kelembapan ekonomi. Tapi, ini tidak banyak disentuh. Persoalannya, adakah belajawan ini untuk semua rakyat Malaysia?" soalnya.

Ganabatirau juga mendakwa bahawa hanya kementerian diketuai menteri-menteri 'berkuasa' dalam kerajaan PN mendapat peruntukan lebih baik.

"Ada kementerian terlepas dalam belanjawan. Maksud saya tidak dapat yang sepatutnya.

"Tapi, yang ini kena perlu dikaji secara lebih mendalam," katanya.

Belanjawan memerangi Covid-19

Sementara itu, Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) S Barathidasan memberitahu bahawa belanjawan dibentangkan hari ini sebagai satu usaha kerajaan PN memerangi Covid-19.

"Kesihatan dan kebajikan rakyat diberikan keutamaan.

"Semua rakyat harus diberi peluang untuk menyara hidup. Keluaran KWSP RM500 bagi sebulan (untuk Akaun 1 secara bersasar) amat dialu-alukan buat masa ini.

"Walaupun jumlahnya kecil tapi ia dapat meringankan beban golongan B40," katanya.

Ketika ditanya peruntukan khas kepada kaum India, Barathidasan menyambut baik dana RM100 juta di bawah Unit Transformasi Maysyarakat India Malaysia (Mitra).

Bagaimanapun, katanya agensi itu perlu diletak di bawah seliaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memastikan semua pihak terlibat sama.

"DHPP mengharapkan agar Perdana Menteri Muyiddin Yassin untuk mempertimbangkan agar parti PAS khususnya DHPP diberikan peluang untuk mengurus dan mentadbir Mitra dengan lebih sistematik.

"Mitra harus berada di tangan orang yang telus, cekap dan berketerampilan. Kami percaya DHPP di bawah pimpinan PAS memiliki ciri-ciri kepimpinan ini dan mampu mengalas tugas ini dengan penuh amanah.

"DHPP mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat India secara langsung," katanya lagi.