Presiden UMno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata terserah kepada perwakilan Pemuda Umno untuk menentukan masa depan politik menantunya, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, Naib Ketua Pemuda Umno menjadi bahan tohmahan dan tuduhan pelbagai pihak kebelakangan ini tidak akan memegang jawatan tersebut jika perwakilan parti sendiri tidak lagi mahukannya.

Perdana Menteri berkata: "Kalau orang tak mahu pada dia, tunggu apa lagi. Betul tak?

"Orang tak mahu dah...tentulah kalau orang tak mahu, tentulah dia tak jadi (Naib Ketua Pemuda ) lagi, tak pegang jawatan yang berkenaan."

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan menantunya semalam bahawa beliau (Khairy) sanggup melepaskan jawatannya jika pergerakan Pemuda menganggapnya sebagai liabiliti kepada parti itu.

Abdullah yang kelihatan ceria dan tenang ketika menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu di Kuala Lumpur semalam berkata, prinsip itu sebenarnya dipegang oleh semua pemimpin Umno.

"Betul, betul...untuk siapa pun prinsipnya sama juga," katanya bersetuju dengan pertanyan pemberita bahawa jawatan yang dipegang Khairy itu adalah dipilih oleh perwakilan.

Sabtu lalu Khairy memberitahu pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju dan Cheras bahawa beliau sanggup melepaskan jawatan yang dipegangnya itu sejak pemilihan parti 2004 jika dianggap sebagai liabiliti kepada pergerakan itu, sejajar dengan budaya Umno iaitu parti lebih penting daripada individu.

Khairy berkata beliau juga berpegang kepada prinsip bahawa mana-mana pemimpin perlu berundur sekiranya kehadiran mereka dilihat mendatangkan beban atau masalah kepada organisasi masing-masing.

Bagaimanapun, sebagai menghormati anggota parti, Khairy berkata sebarang keputusan mengenai kedudukannya hanya boleh ditentukan perwakilan pergerakan itu memandangkan mereka yang memilihnya.

Hubungan dengan artis

Sementara itu ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Klang di Pelabuhan Klang semalam, Khairy pula menyifatkan penyebaran fitnah dan tohmahan terhadapnya sebagai keadaan "ada beruk yang menyebabkan pokok bergoyang".

Beliau berkata ada pihak yang masih sangsi dengan penafian beliau terhadap khabar angin yang dianggapnya fitnah, yang mengaitkan beliau dengan artis terkenal Maya Karin, hingga ada yang menimbulkan "kalau tak ada angin bertiup, takkan pokok bergoyang".

"Memang susah juga nak jawab. Maknanya kalau ada fitnah, mesti ada kebenaran sikit. Saya boleh bagi penafian, saya tidak kahwin dua, tak ada hubungan dengan Maya Karin. Tetapi apabila berdepan keadaan `kalau tak ada angin bertiup, takkan pokok bergoyang' saya fikir betul-betul.

"Saya teringat kadang-kadang kita tengok pokok bergoyang juga walaupun tidak ada angin melintang. Rupa-rupanya di bawah sana ada beruk yang menggoyangkan pokok itu," katanya.

Khairy buat pertama kali menafikan dakwaan beliau sudah berkahwin dengan Maya Karin ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Kelantan, Jumaat lepas.

Katanya beliau kesal kerana terpaksa menjawab isu remeh mengenai rumah tangganya, sedangkan menurutnya forum Umno sepatutnya dijadikan medan untuk menjelaskan isu semasa negara dan global.

"Yang penting ialah anggota Pergerakan Pemuda Umno. Kalau mereka terima penjelasan yang saya berikan, itu yang penting bagi saya. Bukan saya hendak memuaskan hati mereka yang menuduh saya," kata beliau.

Antara perkara yang dijawab ialah dakwaan beliau campurtangan dalam urusan pentadbiran kerajaan, menjadi jutawan dalam masa yang singkat dan mampu membeli saham ECM-Libra Berhad, isu penggabungan ECM-Libra dengan Avenue Asset yang dianggap menyalahi peraturan, penjualan MV Augusta dengan harga satu euro serta penjualan Pantai Holdings kepada syarikat Singapura.

Khairy juga berkata bahawa beliau akan menggunakan peluang merasmikan lebih 30 mesyuarat Bahagian Pemuda di seluruh negara bagi menjelaskan segala fitnah yang dilemparkan kepadanya kerana dilihat menjadi sasaran mudah ekoran kedudukannya sebagai menantu Perdana Menteri.