mk-logo
Berita
Pahang warta Tasik Chini sebagai taman negeri
Diterbitkan:  Nov 7, 2020 9:57 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Kerajaan Negeri Pahang akan mengambil langkah untuk mewartakan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia, Tasik Chini di Pekan, sebagai sebuah taman negeri yang baru dan kawasan hutan simpan bagi menjadikannya sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi pilihan pelancong termasuk dari luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan menghentikan aktiviti perlombongan dan pembalakan di sekitar Tasik Chini bagi membolehkan aspek pemulihan berlangsung.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, menurut Mohd Sharkar (gambar, bawah) juga bersetuju Tasik Chini yang terkenal dengan legenda naga dan keindahan bunga teratai sebelum ini diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal supaya ia terpelihara.

"Langkah untuk mewartakan kawasan ini perlu dilakukan supaya alam sekitar ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang, dalam keadaan yang baik dan semula jadi tanpa dicemari aspek pembalakan atau perlombongan.

"Usaha ini yang bermula sekarang, membolehkan Tasik Chini kembali pulih dalam tempoh masa antara 10 ke 20 tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 peringkat negeri di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pekan, hari ini

Turut hadir ialah Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang Mohd Sani Mat Daud dan Pengarah Penyiaran negeri Ariffin Awang.

Ditanya antara usaha yang akan dilakukan dalam usaha pemulihan itu, Mohd Sharkar berkata zon penampan antara hutan dan sungai di kawasan tersebut akan ditambah tiga kali ganda dari jarak antara 10 ke 20 meter yang ditetapkan pada masa ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS