Kira-kira 800 penduduk dari perkampungan Orang Asli Tasek Chini di Pekan Pahang didakwa mengalami kekurangan bekalan air lebih dari sebulan.

Penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Pahang Shafie Dris berkata keadaan itu berlaku kerana kegagalan pengurusan air negeri itu membaik pulih sistem perpaipan di kawasan tersebut.

“Penduduk Orang Asli kecewa dengan kegagalan pengurusan air Pahang kerana gagal membaik pulih sistem saluran air paip sehingga sudah satu bulan (bekalan air) terputus,” katanya.

Menurut Shafie, pihaknya telah beberapa kali membuat aduan berhubung perkara tersebut namun tiada sebarang tindakan lanjut dibuat.

Malah, Shafie berkata masalah tersebut bertambah rumit apabila menjelang sesi persekolahan 2016, Isnin ini.

“Kesukaran merrka amat terkesan kerana musim persekolahan akan di buka dan di musim tengkujuh,” kata Shafie.

Kata Shafie, penduduk Orang Asli itu kini hanya bergantung kepada air hujan dan air dari paya berdekatan untuk kegunaan harian mereka untuk memasak serta membasuh.

Sumber itu bagaimanapun dibimbangi tercemar akibat aktiviti perlombongan besi, katanya lagi.

Justeru, menurut Shafie, jika masalah itu tidak diselesaikan dalam tempoh terdekat ini ia boleh menjejaskan kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Chini.

Sekolah itu antara sekolah terbaik dan menduduki tangga 237 daripada 7,709 sekolah di seluruh negara. Ia mempunyai kadar kelulusan 100 peratus bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) antara 2011 dan 2013.

Orang Asli di Tasik Chini telah lama bergelut menuntut bekalan air lebih baik setiap tahun.