Satu delegasi masyarakat Cina mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Sri Perdana, Putrajaya semalam bagi membincang isu-isu ekonomi.

Rombongan tersebut diketuai oleh Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting dengan disertai oleh wakil beberapa pertubuhan suku kaum Cina dan menteri-menteri MCA.

Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan itu yang berlangsung di kediaman rasmi Abdullah di Seri Perdana di sini, beliau berkata mereka mendengar ulasan Perdana Menteri berhubung pelaksanaan RMK-9 dan agenda pembangunan ekonomi negara.

Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata: "Melalui penerangan dan pandangan Perdana Menteri, maka lebih jelaslah kepada kita tentang dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan."

Menurut Ong, antara lain pertemuan itu membincangkan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) termasuk mengutarakan cadangan-cadangan bagi membolehkan penyertaan semua kaum yang lebih berkesan dalam RMK9.

"Kami datang ke sini bukan untuk mengadu atau menyuarakan sebarang isu. Kami datang hanya untuk menyampaikan pandangan dan maklumat balas. Perdana Menteri juga banyak bertanyakan maklumat balas daripada kami. Saya rasa ia satu perjumpaan yang baik sekali," katanya.

Menurut laporan Bernama, delegasi tersebut turut memberikan maklumat balas kepada Perdana Menteri tentang, antara lain, bagaimana melicinkan lagi pelaksanaan program pembangunan yang diperincikan melalui RMK-9.

"Baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan banyak rancangan pembangunan yang baik untuk negara. Jadi wakil-wakil Dewan Perniagaan Cina Malaysia dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia ada juga pandangan dan cadangan untuk menjadikan semua projek itu berjaya," kata Ong.

Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan itu, beliau berkata mereka mendengar ulasan Perdana Menteri berhubung pelaksanaan RMK-9 dan agenda pembangunan ekonomi negara.

Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata: "Melalui penerangan dan pandangan Perdana Menteri, maka lebih jelaslah kepada kita tentang dasar-dasar yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan."

Sambil menyifatkan pertemuan yang disusuli jamuan tengah hari itu sebagai perjumpaan biasa, Ong menjelaskan ia bukanlah bertujuan menyampaikan apa-apa rungutan atau memorandum.

Ong bagaimanapun enggan mendedahkan perkara yang dibincangkan di Seri Perdana itu.

"Hari ini tujuannya adalah agenda ekonomi. Memandangkan ia perjumpaan tertutup, saya tidak fikir saya patut mendedahkan butirannya," katanya.

Ong berkata kedua-dua pihak memang sudah lama berhasrat hendak berjumpa, dan satu keputusan diambil untuk menghantar delegasi daripada mengatur perjumpaan berasingan dengan Abdullah untuk menjimatkan masa.

Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata delegasi itu sependapat dengan Abdullah berhubung pentingnya dikurangkan kerenah birokrasi dalam perkhidmatan awam.

"Memang Perdana Menteri melakukan banyak usaha untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian awam dan ini selaras dengan kehendak semua anggota masyarakat,"ujarnya.