Anwar: Dedah data terbuka kes Covid-19 untuk yakinkan rakyat
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berpendapat, kerajaan perlu mendedahkan data terbuka berhubung kes Covid-19 bagi meyakinkan orang awam terhadap pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Anwar berkata orang ramai kini mula mempertikaikan ketelusan kerajaan dalam mengeluarkan data berkenaan.
“Saya minta supaya ada data terbuka. Saya nak tekankan, mesti ada ketelusan, misalnya ada tujuh kes di Selangor umpamanya di Petaling Jaya, kita hendak tahu di mana dan kebenarannya.
“Bila ada data terbuka dan maklumat jelas, orang lebih yakin. Sekarang ini dah ramai mula pertikai. Mengapa larut (kes di daerah) dan kesudahannya kerajaan buat PKPB,” katanya dalam sesi perbahasannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam Dewan Rakyat hari ini.
Dia berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berpendapat dari segi dasar, cara kerajaan mendedahkan kes Covid -19 tidak mengambil kira kepadatan penduduk.
Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan kerajaan Selangor pada masa ini "bertarung sambil mata tertutup" dalam responsnya terhadap Covid-19 selepas Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa tidak lagi berkongsi data penting berkenaan kes positif.
Difahamkan sejak minggu pertama Oktober, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) tidak lagi menerima data granular daripada KKM, justeru menjejaskan usahanya untuk membendung penularan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data granular tidak dapat didedahkan. Hal itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sekiranya pengumuman dibuat secara khas oleh kerajaan negeri.
Meskipun tiada niat untuk mempersoalkan arahan KKM terutama dalam prosedur operasi standard (SOP) dalam mengehadkan anggota parlimen dalam Dewan Rakyat, namun Anwar menambah, hal tersebut seharusnya terbuka untuk dibincangkan.
Dia berkata demikian selepas kenyataan Speaker Azhar Azizan Harun terhadap Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang membangkitkan isu mengehadkan kehadiran 80 ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat
Azhar turut menyatakan Perkara 96 dan 97 Perlembagaan Persekutuan yang dirujuk Hasan tidak memperuntukan semua anggota parlimen untuk ke Dewan Rakyat setiap masa.
“Korum kita 26 dan kita ada 80 ahli parlimen…hari-hari bukannya ada semua 222 ahli.
“Setiap hari persidangan, datang dalam 120 orang, dan selepas 2.30 petang, kadang-kadang nak ada korum pun tak cukup. Jadi bila kita buat konsensus 80 orang (Ahli Parlimen), tiba-tiba perkara ini jadi besar, kenapa?,” tegas Azhar.

