Ahli perniagaan didakwa bunuh jurutera tapak
Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas tuduhan membunuh seorang jurutera tapak, yang ditemukan rentung di dalam sebuah kenderaan pada 28 Okt lepas di Kota Warisan.
P Vijayan, 42, hanya mengangguk dan berkata faham namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.
Dia dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas K Seri Ganis Kanapathy Pillay, 42, pada 28 Okt antara jam 2.38 pagi hingga 4.50 pagi, di kawasan bersebelahan Jalan Airport City 2, Airport Business Centre, Kota Warisan Sepang.
Media pada 28 Okt melaporkan penemuan satu mayat rentung di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbakar di kawasan semak di Kota Warisan.
Vijayan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 8 Feb tahun depan untuk sebutan semula.
- Bernama

