GLOBAL l Para saintis pada Isnin mengatakan hasil ujian awal ke atas vaksin koronavirus Pfizer Inc dan BioNTech mendapati ia jauh melangkaui jangkaan mereka, tetapi masih banyak persoalan belum terjawab.

Reuters yang memetik syarikat pembuat ubat itu, melaporkan vaksin berkenaan lebih 90 peratus berkesan untuk mencegah Covid-19, berdasarkan data daripada 94 orang pertama dalam ujian dijangkiti koronavirus.

Kadar keberkesanan bermaksud bahawa sebahagian besar jangkitan berlaku di kalangan mereka yang menerima plasebo dan bukannya vaksin.

Pfizer mendakwa, keputusan ujian dilakukan terhadap lebih 40,000 orang menunjukkan 'pencapaian kritikal' dalam usaha menghasilkan vaksin berkenaan ketika jangkitan global kini melepasi angka 50 juta, termasuk di Amerika Syarikat yang mencecah 10 juta kes.

Vaksin berkesan itu dilihat sebagai harapan terbaik untuk menghapuskan kitaran wabak membawa maut yang mengakibatkan sekatan terpaksa dilaksanakan di seluruh dunia bagi mengekang penularannya.

Ubat terbabit yang dibangunkan bersama firma Jerman, BioNTech, adalah salah satu daripada lebih 40 calon vaksin tetapi belum ada pihak lain yang mendakwa mencapai keberkesanan seumpama itu.

Sementara itu, Bernama yang memetik agensi berita Xinhua melaporkan pengeluar ubat Amerika dan firma farmaseutikal Jerman itu akan memohon kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) Brazil untuk vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan mereka.

Kedua-dua syarikat itu berkata vaksin BNT162b2 memberikan kesan lebih 90 peratus, berdasarkan hasil ujian awal tahap ketiga.

Sementara itu, penyelaras bahagian ujian klinikal, Edson Moreira dalam wawancara dengan stesen Globonews berkata Pfizer turut bercadang untuk mengemukakan permohonan pendaftaran vaksin itu pada akhir bulan ini.

Moreira berkata hasil ujian yang dijalankan melebihi jangkaan, sukarelawan yang divaksin menunjukkan pengeluaran antibodi lebih tinggi berbanding orang dijangkiti Covid-19.

"Keberkesanan sebanyak 90 peratus adalah luar biasa. Ia kelihatan tidak banyak, tetapi dalam dunia vaksin, itu merupakan satu pencapaian tertinggi," katanya.

Perkembangan itu juga menerima maklum balas positif daripada saintis, dengan pakar terkemuka Amerika Syarikat, Anthony Fauci, menyifatkan keputusan berkenaan sebagai 'luar biasa'.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengalu-alukannya sebagai sebagai berita 'memberangsangkan'.