Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada pihak tak senang usaha selesai pencemaran air di S'gor - MB

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor hari ini ibarat ada pihak ‘tidak senang’ dengan usaha kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu yang sering berlaku itu.

Beliau mengesyaki pihak tidak bertanggungjawab itu juga sudah mengetahui trend pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa menyebabkan perbuatan mencemar sungai dipercayai dilakukan di luar waktu tugas pasukan terlibat.

“Lokasi insiden pencemaran air hari ini dipercayai berlaku depan sedikit dari Sungai Gong, Rawang. Maknanya orang yang buang (cecair pelarut) itu sama ada sengaja atau tidak, dia seolah-olah tahu (di mana) kawasan yang kita sering mengambil sampel air.

“Sejak henti tugas empat loji rawatan air (LRA) tengah hari tadi, petugas kita sedang berusaha gigih memastikan pencemaran tersebut dapat dikawal dan saya dimaklumkan setakat 5 petang, pencemaran bau sudah berkurang kepada 2 TON (threshold odour number),” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata insiden pencemaran bau di Sungai Selangor juga dianggap sebagai cabaran kepada kerajaan negeri yang baharu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (Pindaan) 2020 pada sidang DUN semalam.

Katanya walaupun tindakan atau hukuman dalam RUU LUAS (Pindaan) 2020 belum boleh diguna pakai bagi menyelesaikan insiden pencemaran bau hari ini namun masih terdapat akta lain untuk dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu, antaranya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mengulas lanjut RUU LUAS (Pindaan) 2020, Amirudin berkata ia akan diwarta selepas ditandatangani Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah atau sebulan daripada tempoh kelulusan DUN.

Antara pindaan dalam RUU itu ialah memasukkan kesalahan pencemaran air disebabkan bau dan rasa sebagai kesalahan, menaikkan jumlah denda kepada minimum RM200,000 sehingga RM1 juta, menjadikan hukuman penjara sebagai mandatori, memberi kuasa kepada pengarah atau penguatkuasa untuk menyita tanpa waran, pencemar air harus membayar kepada LUAS kos pembersihan pencemaran, dan memperuntukkan kuasa kepada LUAS bagi menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat.

Empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas tengah hari tadi akibat pencemaran bau menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual mulai 6 petang.

Gangguan bekalan air itu melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS