Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencemaran air: Selangor syak sabotaj, mahu lapor polis
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 7:28 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Kerajaan Selangor mengesyaki pencemaran bau terbaru yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih sejuta pengguna hari ini, mungkin disebabkan sabotaj.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Hal Ehwal Selain Islam, Hee Loy Sian berkata demikian semasa sidang DUN hari ini.

Menjawab soalan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, dia mendedahkan kesemua bacaan nombor ambang bangar (TON) yang direkodkan tiga kali dari jam 2 pagi ke 7 pagi hari ini oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Air Selangor, menunjukkan bacaan sifar.

“Ini (pencemaran) berlaku selepas jam 7 hingga 10 pagi.

“Kita mengesyaki ada sabotaj yang berlaku. Jadi kita akan buat laporan polis, dan mencari siapa di belakangnya,” katanya.

Terdahulu, Wong bertanya kepada Hee berkenaan pencemaran terbaru yang berlaku 24 jam selepas pindaan rang undang-undang (RUU) Luas Pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pencemar air, diluluskan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang membentangkan RUU itu, berkata, pindaan itu bertujuan memastikan usaha dan tindakan sewajarnya dapat dilakukan secara menyeluruh bagi mengelakkan masalah pencemaran sungai dan memelihara sumber bekalan air Selangor.

Enakmen Luas 1999, yang diwartakan pada 20 Mei 1999 tidak dipinda sejak ia dikuatkuasakan lebih dua dekad lalu.

Antara pindaan yang dibuat ialah memasukkan pencemaran air disebabkan bau dan rasa sebagai kesalahan, hukuman penjara mandatori, menaikkan denda kepada minimum RM200,000 hingga RM1 juta, memberikan kuasa kepada pengarah atau pegawai penguatkuasa untuk menyita tanpa waran, pencemar harus membayar kos pembersihan kepada Luas dan memberikan Luas kuasa menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat.

Pindaan itu turut memberi kuasa kepada Luas untuk mengenakan caj lebihan pengambilan air bagi mengawal pembaziran sumber air, menuntut ganti rugi kos ditanggung sepanjang memegang harta benda yang disita dan menambah baik prosedur arahan kepada pihak berkuasa awam untuk supaya mengambil langkah pemeliharaan serta pemuliharaan sumber air terjejas.

Selangor, yang berada di bawah pentadbiran PH sejak 2008, menyaksikan gangguan bekalan air yang berulang kali akibat pencemaran.

Insiden terbaru, gangguan air bermula ja 6pm petang ini kerana penutupan tiga loji rawatan air (SSP1, 2 dan 3) di Kuala Selangor.

Ini menjejaskan 1,139,008 akaun di 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Lihat Komen
ADS