Permintaan terhadap minyak sawit di peringkat global dijangka menguncup sebanyak 4.0 peratus atau 3.2 juta tan pada tahun ini berikutan impak pandemik Covid-19 yang kebanyakannya telah menjejaskan sektor makanan, demikian menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Statistik global pada 2019 menunjukkan permintaan terhadap komoditi itu mencecah 71.48 juta tan diikuti minyak kacang soya (55.46 juta tan), minyak biji sesawi (27.62 juta tan), minyak biji bunga matahari (19.33 juta tan), minyak isirung sawit (8.56 juta tan) dan minyak kacang (6.12 juta tan).

Pengurus Serantau MPOC, Desmond Ng berkata industri penyajian makanan China misalnya telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dengan jumlah pendapatan merosot sebanyak 23.9 peratus setakat September lepas.

“Kelemahan permintaan itu sememangnya dijangkakan berikutan krisis kesihatan terbabit yang telah menjejaskan seluruh rantaian bekalan,” katanya pada siri webinar MPOC bertajuk ‘Permintaan Minyak Sawit China dan Pemulihan Pasca-Covid-19’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, bagi industri perladangan, penularan pandemik itu telah menyebabkan penurunan pengeluaran berikutan larangan perjalanan udara manakala pekerja asing tidak dibenarkan menyambung kerja-kerja di ladang-ladang sawit di sini.

Malah, laporan sebelum ini menyatakan kekurangan tenaga kerja itu menyebabkan Malaysia kehilangan 25 peratus potensi pulangan hasil minyak sawit.

Malaysia yang juga negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, juga bergantung kepada pekerja dari negara-negara seperti Indonesia dan Bangladesh yang mewakili 84 peratus daripada tenaga kerja di ladang-ladang.

Menurut Ng, selain masalah kekurangan pekerja, usaha pengeluaran minyak sawit itu juga berdepan masalah pertumbuhan lebih rendah akibat musim tengkujuh, penurunan penggunaan baja, pengurangan aktiviti-aktiviti penanaman semula serta pokok sawit yang tua.

Dari perspektif lebih cerah, pelaksanaan mandat biodiesel B30 terbukti menjadi penyelamat pada masa ini walaupun pelaksanaannya agak perlahan, katanya.

Beliau berkata, kalangan negara pengimport dan pengguna utama minyak sawit lain turut berdepan masalah penyusutan import serta penggunaan pada tahun ini.

-Bernama