story image
mk-logo
Berita
Bersatu macam tak minat belanjawan, lebih tumpu politik - Shahrir
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 2:17 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

Penubuhan badan perhubungan negeri bagi Perikatan Nasional (PN) dan pelantikan Azmin Ali selaku pengarah pilihan raya PN bagaikan tidak disambut baik oleh veteran Umno, Shahrir Samad.

Shahrir sebaliknya mendakwa Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) lebih menumpukan isu politik berbanding menunjukkan minat terhadap perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

"Bersatu macam tidak berminat dengan perbahasan Bajet 2021. Lebih tumpu kepada politik.

“Belanjawan dan perbahasan di Dewan Rakyat macam dijadikan suatu untuk mengalih perhatian mereka yang serius membicarakan soal kelangsungan rakyat dan negara yang terancam oleh wabak Covid-19 sambil Bersatu dan PAS merancang mengukuhkan PN,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Bersama hantaran itu adalah kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha agung PN, Hamzah Zainuddin.

Selain penubuhan badan perhubungan negeri, Hamzah memaklumkan pelantikan Azmin sebagai setiausaha agung PN dibuat oleh Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 November 2020.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata Bersatu tidak memberikan tumpuannya kepada Belanjawan 2021 kerana ia tidak menjamin kelangsungan parti itu.

“Tapi bersama PAS dalam PN, PPBM difikirkan lebih mampu ‘survive another day’ dari mengharapkan kepada Belanjawan 2021 mendapat sokongan Dewan Rakyat.

“Tambah lagi Azmin Ali diterima juga oleh PAS untuk mengatur strategi politik pada PRU 15.

“Kan PAS pun hebat, mengakui akan ketokohan Azmin dan Hamzah,” katanya.

Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS