Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Johor minta kerajaan pusat pertimbang PKPB hanya untuk zon merah

Kerajaan negeri Johor mengesyorkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam dilaksanakan secara bersasar mengikut kawasan atau daerah zon merah Covid-19 dan bukan di seluruh negeri seperti yang dilaksanakan ketika ini.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata syor untuk pertimbangan kerajaan Persekutuan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikannya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, dekat Iskandar Puteri, semalam.

“Perkara ini amat penting supaya pelaksanaannya (PKPB) tidak menjejaskan sektor ekonomi dan aktiviti harian rakyat di kawasan yang mempunyai jangkitan yang rendah,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Hasni berkata selain PKPB secara bersasar, kerajaan negeri turut menyarankan prosedur operasi standard (SOP) khusus kepada kerajaan Persekutuan bagi pembukaan skim ketiga selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA) dengan Singapura.

Beliau berkata meskipun kuasa penuh pembukaan sempadan kedua-dua negara adalah dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan, namun, kerajaan negeri Johor telah bersedia dengan kapasiti yang sepatutnya, bagi menjayakan DCA seperti yang telah disyorkan.

Pembukaan skim ketiga ini amat penting bagi memudahkan lagi pergerakan rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura sejak bermulanya penutupan sempadan Malaysia dan Singapura, lapan bulan lepas, katanya.

“Ketiga, mesyuarat hari ini turut mencadangkan supaya tempoh kuarantin bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air (yang bukan di bawah kategori PCA) untuk hanya menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari, di pusat kuarantin dan rumah masing-masing berbanding 14 hari sebelum ini,” katanya.

Hasni berkata kerajaan negeri berharap agar saranan tersebut dipertimbangkan dengan kadar segera oleh kerajaan Persekutuan, demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS