Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP bahas belanjawan tanpa menteri kewangan, timbalan
Diterbitkan:  Nov 11, 2020 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan mengapa menteri dan timbalan menteri kewangan tiada dalam dewan sewaktu Belanjawan 2021 dibahaskan.

Menurut RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian membangkitkan isu berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun sejurus sebelum Anggota Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad memulakan perbahasannya.

“Saya cuma ingin dapatkan penjelasan sekarang, kita sedang berbincang tentang Belanjawan 2021 (tapi) menteri kewangan pula tidak ada dan timbalan menteri kewangan pertama dan kedua juga tidak hadir.

“Mereka perlu hadirlah untuk dengar perbahasan bagi memberi ulasan.

"Ini adalah masa yang penting walaupun had anggota parlimen 80 orang tetapi menteri patutnya hadir,” katanya.

Bagaimanapun Azhar memberitahu Dewan Rakyat, tiada peruntukan yang mewajibkan menteri dan timbalannya mesti berada dalam Dewan Rakyat ketika belanjawan dibahaskan.

Azhar juga berkata, mungkin menteri kewangan atau timbalannya berada di luar dewan.

“Saya pun tak tahu menteri (kewangan) tiada di sini. Boleh jadi mereka tengok dari luar.

“Tetapi tiada pun peruntukan yang mewajibkan menteri dan timbalan menteri kena ada dalam dewan ketika (perbahasan) bajet. Saya rasa mereka pantau dari luar,” kata Azhar.

Faham sibuk, tapi ini penting

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan Belanjawan 2021 dengan menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM322.5 bilion.

Minggu ini semua ahli parlimen diberikan peluang untuk membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu.

Ketika kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diragui keutuhannya, sejumlah isu yang dibangkitkan dalam belanjawan tersebut menjadi perhatian dengan sesetengahnya mengundang kecaman wakil kerajaan dan pembangkang.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan Azhar, Rayer kemudian bangun sekali lagi untuk bertanya soalan sama. Ketika itu Azalina Othman Said selaku timbalan speaker mengambil tempat.

Azalina kemudian berkata dia bersetuju dengan kenyataan Rayer dan mengingatkan menteri kewangan atau timbalannya - seramai dua orang - wajar hadir dalam sesi perbahasan belanjawan.

“Saya setuju dengan apa yang Jelutong kata, saya perhati tiada timbalan menteri atau menteri (kewangan). Salah seorang kena ada sebab ini adalah perkara penting.

“[…] Tolonglah pesan pada kawan-kawan kita - menteri atau timbalan menteri - salah satu kena ada sebab nak dengar isu.

"Ini saya tengok menteri dan timbalan banyak tiada. Saya faham semua sibuk tetapi ini penting,” katanya.

Lihat Komen
ADS