Lelaki nekad terjun lombong elak ditahan polis
Seorang lelaki nekad terjun dan bersembunyi selama beberapa jam di dalam sebuah lombong tinggal dipenuhi pokok kiambang di Kampung Dato Ahmad Said di Ipoh, semata-mata mahu mengelakkan daripada ditahan polis malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, suspek berusia 41 tahun tersebut bertindak meninggalkan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun di dalam kereta dan terjun ke lombong berkenaan, menyebabkan pihak polis terpaksa memanggil pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk mengesan suspek menggunakan perahu dan bot.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz, suspek yang beralamat di Kampung Kepayang, Fair Park itu berjaya ditangkap pada kira-kira 12.30 tengah malam.
Katanya sebelum kejadian, pasukan kereta peronda polis menghampiri kereta suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan berhampiran Medan Ipoh Bestari pada kira-kira 7 malam, menyebabkan suspek memecut keretanya ke arah lombong itu.
"Pemeriksaan polis ke atas kenderaan suspek menemukan beberapa komponen kereta dan motosikal termasuk pelbagai jenis sport rim yang disyaki dicuri, dan semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut A Asmadi, suspek yang mengalami luka pada bahagian kiri kepala dan calar pada kedua-dua kaki akibat terkena objek semasa terjun ke dalam lombong berkenaan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk menerima rawatan.
Katanya kes disiasat menurut Seksyen 186 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
- Bernama

