Mesyuarat PAC ditangguhkan susulan kematian Hasbullah
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menangguhkan semua mesyuarat dan taklimat yang dijadualkan hari ini susulan kematian ahli parlimen Gerik Hasbullah Osman, petang semalam.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata keputusan berkenaan adalah sebagai tanda penghormatan kepada allahyarham.
“Saya mewakili semua ahli PAC Parlimen ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia di Hospital Raub, petang semalam.
“Walaupun dilantik sebagai ahli PAC pada Khamis lalu, namun komitmen tinggi allahyarham terhadap jawatankuasa ini amat jelas.
“Sebaik dilantik sebagai ahli PAC pada hari Khamis, allahyarham terus menghadiri mesyuarat yang berlangsung pada hari Khamis dan semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasbullah dilantik sebagai anggota PAC pada12 November lalu dan sempat menghadiri dua mesyuarat sebelum ini.
“Kami semua pasti akan merasa kehilangan allahyarham dalam setiap mesyuarat PAC memandangkan beliau sentiasa memberikan input berguna dan aktif mengambil bahagian dalam setiap sesi ketika mesyuarat.
“Malah, beliau juga tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik ketika Muhyiddin adalah timbalan perdana menteri,” kata Wong yang juga adalah ketua pemuda DAP.
Hasbullah, 63, yang juga ketua Umno bahagian Gerik meninggal dunia pukul 7 petang semalam di Hospital Raub, selepas mendapat serangan jantung kira-kira 6.30 petang semasa berada di dalam kereta.
Allahyarham yang juga pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meninggalkan dua isteri, Rosmawati Arifin dan Zaini Abu Bakar serta lapan orang anak dengan anak kelapan seorang bayi lelaki yang dilahirkan pada 9 Sept lalu.
Pada pilihan raya umum 2018, dia mengalahkan calon PAS dan Bersatu dengan majoriti 5,528 undi untuk mempertahankan kerusi parlimen Gerik.

