Adun Bugaya selamat dikebumikan di Semporna
Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya Allahyarhamah Manis Muka Mohd Darah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya di Semporna kira-kira jam 4.45 pagi tadi.
Jenazah tiba di Semporna dari Kota Kinabalu kira-kira jam 3.30 pagi melalui jalan darat.
Terdahulu jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada 4 petang semalam.
Pengebumian itu dijalankan dengan kehadiran sebilangan ahli keluarga.
Sementara itu, anak arwah, Fara Deeba Sabardin mendedahkan ibunya menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, tumor dan masalah buah pinggang.
Arwah juga menjalani pembedahan lutut baru-baru ini.
"Tetapi sejak tiga hari lalu ibu mengadu sakit dan kami beranggapan ibu sakit tulang dan kami membawanya ke Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu.
"Rupa-rupanya ibu sakit akibat buah pinggang dan dari hari ke hari kesihatannya semakin merosot hingga menggunakan mesin ventilator.
"Pada jam 6 pagi semalam doktor memanggil dan memberi izin untuk kami berjumpa serta mengucup ibu," katanya sambil menambah pada jam 1.36 tengah hari mesin ventilator itu pun dihentikan.
Bagi Fara Deeba, ibunya itu seorang yang kuat semangat dan positif kesihatannya boleh beransur pulih bagi membolehkannya mengangkat sumpah sebagai Adun Bugaya sekali gus berbakti kepada rakyat.
"Ibu selalu tidak sihat, kadang-kadang di rumah ibu akan guna kerusi roda tetapi di luar, ibu tidak pernah mahu menunjukkan dirinya sedang sakit malah sebaliknya berlaku," katanya lagi.
Manis Muka, 65, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bugaya pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 Sept lalu.
Bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, Manis Muka pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Wanita Umno Semporna dan Ketua Wanita Warisan Semporna.
Manis Muka meninggalkan suami Sabardin Omrah, 76, serta 13 anak terdiri daripada tujuh lelaki dan enam perempuan berumur antara 49 dan 26 tahun.
- Bernama

