PGA8 rampas cecair vape bernilai lebih RM1.96 juta
Sejumlah 28,100 botol cecair vape dengan anggaran nilai lebih RM1.96 juta berjaya dirampas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
Pegawai Pemerintah PGA8, Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, anggotanya yang sedang membuat rondaan terserempak sebuah lori jenis Hino berwarna putih diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota kemudian mendekati lori berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum meminta pemandunya mengemukakan dokumen pengenalan diri serta surat perjalanan.
"Pemeriksaan ke atas tubuh badan dilakukan ke atas pemandu dan tidak menemui sebarang barangan salah yang menyalahi undang-undang sebelum anggota meneruskan pemeriksaan bahagian belakang lori.
"Hasil pemeriksaan didapati terdapat 50 kotak berwarna coklat yang mengandungi botol kecik berisi cecair jenis nakotine dipercayai untuk vape. Kesemua kotak itu disembunyikan di sebalik barangan runcit disyaki untuk diseludup ke Thailand.
"Pemandu berkenaan ditangkap dan kesemua barangan serta lori dirampas sebelum diserahkan kepada cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.
Sementara itu Muhammad berkata, cecair vape tersebut diiisi dalam dua saiz botol berlainan iaitu sebanyak enam miligram(mg) dan 30mg.
"Kita akan terus memperketatkan kawalan walaupum dalam norma baru supaya kegiatan jenayah rentas sempadan boleh diatasi.
"Ia terutama membabitkan pengawasan barangan terlarang dan aktiviti penyeludupan daripada terus berleluasa melalui Ops Benteng Covid-19," katanya.

