Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suntikan vaksin polio diteruskan dalam tempoh PKPB
Diterbitkan:  Nov 18, 2020 11:46 PM
Dikemaskini: 3:46 PM

Pemberian suntikan vaksin polio sebanyak empat dos di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan di kemudahan Kementerian Kesihatan (KKM) diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemberian vaksin itu dilakukan dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan mengambil kira kepentingan imunisasi bagi bayi serta kanak-kanak untuk mencegah penyakit.

“Walaupun dalam PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), klinik-klinik kesihatan masih dibuka untuk kempen imunisasi.

“Orang ramai diminta terus membawa anak ke klinik kesihatan untuk mendapatkan imunisasi (dalam tempoh PKPB sekarang),” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga Jun 2020, liputan imunisasi bagi suntikan vaksin polio yang diberikan secara vaksin kombinasi lima serangkai bagi kanak-kanak di seluruh negara ialah 95.6 peratus berbanding 98.4 peratus bagi tempoh yang sama pada 2019.

“Terdapat gangguan dalam pengambilan imunisasi susulan PKP dan kerisauan ibu bapa dengan pendedahan kepada jangkitan Covid-19 semasa membawa anak keluar,” katanya.

Ditanya mengenai kempen imunisasi polio di Sabah, beliau berkata sejak Filipina melaporkan terdapat kes polio pada September 2019 negara itu, tindakan bagi mengesan kes polio di negara ini dipertingkatkan.

Bagi kes polio di Sabah sehingga kini empat kes telah disahkan, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata kempen imunisasi polio di Sabah dimulakan sejak 27 Nov tahun lepas dan sehingga 16 Nov, seramai 820,135 kanak-kanak bawah 13 tahun di negeri itu tanpa mengira warganegara diberikan dua dos vaksin polio bivalent.

Menurutnya, sebanyak 737,936 kanak-kanak berumur bawah 13 tahun telah menerima dua dos vaksin oral polio monovalent di seluruh Sabah.

“Saya sendiri turun padang untuk melihat vaksin diberikan kepada kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara untuk elak jangkitan polio dalam kalangan kanak-kanak di Sabah. Impak positif (daripada kempen ini) ialah kes terakhir dikesan pada 10 Mac 2020,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS