Seorang pegawai kanan jualan syarikat telekomunikasi direman hari ini, sekali gus menjadikan dia individu ke-18 yang ditahan berkaitan siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini ke atas lelaki berumur 37 tahun itu dikeluarkan majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber SPRM, suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 7.30 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

Setakat ini, 18 individu termasuk dua bergelar Datuk ditahan reman sejak 10 Nov lepas kerana disyaki terlibat kes berkenaan.

Menurut sumber, mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

"Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyelia kandungan dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, seorang bekas pegawai syarikat telekomunikasi yang direman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan hari ini.

- Bernama