Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ugutan undang-undang pada PAC cabar keutuhan parlimen'
Diterbitkan:  Nov 19, 2020 4:40 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Yayasan Wilayah Persekutuan dilaporkan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Umum (PAC) Wong Kah Woh berhubung yayasan berkenaan.

PAC, yang mempertahankan laporannya berhubung yayasan itu berkata, menyifatkan langkah berkenaan sebagai "mencabar keutuhan institusi parlimen".

"PAC Parlimen sebulat suara menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak patut sama sekali (uncalled for) dan merupakan suatu percubaan untuk mencabar dan mencabuli keutuhan institusi Parlimen," kata PAC dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pegawai undang-undang yayasan itu, Mohd Fadzil Ab Hamid dipetik portal Wilayahku - sebuah laman web milik yayasan berkenaan - sebagai mempertikaikan penemuan PAC terhadap penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mohd Fadzil berkata yayasan itu telah membeli dua plot tanah DBKL dengan harga pasaran.

Dia juga membantah dakwaan wujudnya "pengaruh politik" dalam yayasan yang merupakan badan amal itu.

Mohd Fadzil selanjutnya mengatakan yayasan itu diawasi oleh pengerusinya - Menteri Wilayah Persekutuan.

PAC dalam laporannya menyatakan kebimbangan kurangnya pengawasan kerajaan terhadap yayasan itu dan mengesyorkan ia dijadikan badan berkanun untuk membolehkan pengauditan.

PAC: Kami menyiasat tanpa prejudis

PAC dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa siasatan dijalankan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

"Segala tuduhan terhadap laporan berkenaan adalah sama sekali tidak

berasas dan PAC Parlimen telah menjalankan siasatan terhadap manamana isu tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

"Jawatankuasa ini memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya

tidak mempertikaikan kerja yang dilakukan PAC Parlimen serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Pengerusi atau manamana ahli PAC ketika mereka menjalankan tugas mereka sebagai ahli PAC," katanya.

Untuk rekod, PAC adalah jawatankuasa dwiparti yang dipengerusikan oleh ahli parlimen pembangkang dengan anggotanya terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang.

"PAC Parlimen tidak akan tunduk kepada tuduhan atau ugutan mana-mana pihak dalam menjalankan tugas Jawatankuasa ini seperti yang termaktub dalam undang-undang negara," tambah kenyataan PAC.

Awal hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengatakan bahawa dia akan mempertimbangkan cadangan terbaru PAC.

Namun, dia menolak kebimbangan PAC berhubung yayasan yang dipengerusikannya itu.

Lihat Komen
ADS