K'jaan tak cadang pendekkan tempoh hukuman kesalahan tak serius
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan tidak bercadang untuk memendekkan tempoh tahanan terhadap banduan bagi kesalahan tidak serius susulan pandemik Covid-19.
“Kerajaan secara dasarnya tidak mempunyai cadangan untuk memendekkan tempoh tahanan seseorang banduan semasa pandemik Covid-19 ini.
“Begitu juga tanpa peruntukan undang-undang dan peraturan, seseorang banduan tidak boleh dibebaskan dengan sewenangnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Bagaimanapun dia berkata, kerajaan tidak menafikan hak banduan yang layak dibebaskan di bawah pelepasan secara perintah parol, pelepasan secara lesen dan pembebasan melalui pengampunan oleh Lembaga Pengampunan Negeri-negeri.
“Pada masa yang sama, pembebasan biasa iaitu seseorang banduan telah selesai menjalani tempoh hukuman, masih dilaksanakan.
“Sebelum setiap pembebasan tersebut dilaksanakan, banduan berkaitan akan dibuat saringan Covid-19,” katanya.
Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Lim Lip End (DAP-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan sebab tidak mengumumkan pembebasan awal kepada banduan bagi kesalahan tidak serius sebelum wabak Covid-19 menular dalam penjara dan berapa kali gandakah jumlah banduan melebihi kapasiti penjara di seluruh negara.
Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk membebaskan tahanan yang masih dalam proses reman berkaitan jenayah kecil, jenayah tanpa kekerasan dan penagihan dadah sebagai langkah mengurangkan risiko wabak Covid-19 di penjara yang sesak.
Sementara itu, Hamzah berkata statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 3 November 2020, terdapat seramai 65,139 banduan iaitu 18,719 (40.33%) melebihi kapasiti 46,420 banduan, 39 buah penjara seluruh negara.
“Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengadakan perbincangan dengan Agensi-agensi luar yang berkaitan serta melaksanakan penambahbaikan dari masa ke semasa terutamanya dalam aspek memperkasakan dan memantapkan pengurusan dan kebajikan banduan secara khususnya,” katanya.

