Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPDNHEP banteras penjualan pakaian tiruan berjenama

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membanteras penjualan pakaian tiruan berjenama melalui transaksi dalam talian hasil operasi di sebuah kediaman di Taman Cheras Jaya, Balakong di Selangor Selasa lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Iskandar Halim Sulaiman berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai baju dan seluar berjenama Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan dengan nilai dianggarkan RM67,750.

"Modus operandi peniaga ini ialah mengiklankan pakaian berjenama namun tiruan dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran bagi menarik perhatian pembeli di tapak pasar dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar Halim, pengadu - iaitu wakil pemilik cap dagang terbabit - berjaya mengesan lokasi pengedaran barangan tiruan tersebut selepas membuat pesanan dalam talian menerusi alamat yang tertera pada bungkusan dikirimkan.

"Rentetan daripada urus niaga itu, pengadu membuat perbandingan dengan pakaian jenama asli. Setelah mengenal pasti pakaian yang dibeli adalah tiruan, pengadu membuat aduan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut," katanya.

Iskandar Halim berkata dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah diambil keterangan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Dia turut memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS