Lelaki larikan MPV polis Taiping ditahan
Polis berjaya menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic dari tempat letak kereta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, seorang lelaki berumur 30 tahun memasuki kawasan IPD Taiping dengan menaiki sebuah kereta Ford Fiesta.
"Lelaki itu kemudian telah membawa lari MPV polis dan meninggalkan keretanya di kawasan parkir IPD Taiping," katanya ketika dihubungi dan memaklumkan maklumat terperinci akan diberikan kemudian.
Osman berkata lelaki itu - yang berasal dari Selama - berjaya ditahan di sekatan jalan raya di Tol Taiping Utara tidak lama selepas kejadian dan dibawa ke IPD untuk tidakan lanjut.
- Bernama

