Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kluster Mengketil di Kelantan merebak pantas

KORONAVIRUS | Kadar kebolehjangkitan yang tinggi Kluster Mengketil di Kelantan menyebabkan kes kluster itu merebak dengan pantas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata selain merekodkan peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh singkat, kluster itu merebak ke daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan, selain Besut di Terengganu.

Justeru katanya tindakan proaktif dan pencegahan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kelantan mulai esok diambil bagi memperlahankan peningkatan kes di negeri terbabit.

"Satu sebab jangkitan berlaku di Kelantan adalah kes-kes dari zon atau daerah merah yang kembali ke negeri tersebut dengan membawa jangkitan.

"Jadi kita bimbang, sebab ada banyak pergerakan dari satu daerah ke daerah lain, dari negeri ke negeri lain. Kebolehjangkitan itu adalah tinggi," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Kluster Mengketil dikesan di Kelatan pada 12 Nov dan sehingga hari ini sebanyak 45 kes direkodkan dengan pertambahan tiga kes baru hari ini.

Hari ini kerajaan mengumumkan perlaksanaan PKPB di seluruh Kelantan mulai esok sehingga 6 Dis.

Mengambil contoh Kluster Cheras dan Kluster Kaya, Dr Noor Hisham berkata jangkitan kluster itu berlaku di Lembah Klang dan Negeri Sembilan tetapi individu terlibat pulang ke Kelantan dan menjangkiti keluarga terdekat dan komuniti.

Ditanya unjuran kebolehjangkitan di Kelantan, Dr Noor Hisham berkata ia di peringkat awal namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap dapat memperlahankan peningkatan kes dalam tempoh dua minggu melalui kaedah PKPB.

Beliau berkata kaedah PKPB dalam mengimbangi kesihatan dan ekonomi telah mengelakkan lonjakan kes yang tinggi, dengan empat minggu pelaksanaan sebelum ini dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan dari 2.2 kepada 1.0.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM akan meningkatkan kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan individu yang sudah menjalani saringan sebelum meninggalkan Sabah, untuk dipakaikan gelang dan dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebelum dibenarkan keluar dari KLIA.

Ini susulan kes indeks Kluster Bah Bercham di Daerah Kinta, Perak yang menjalani saringan dan disahkan negatif di Tawau tiga hari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, namun tidak mengambil gelang kuarantin ketika tiba di KLIA.

“Sepatutnya bila negatif dia (kes indeks berkenaan) kena pergi ke kaunter (KKM) untuk dipakaikan gelang dan dikeluarkan arahan HSO.Tapi (individu itu) tidak pergi kaunter dan terus keluar (dari KLIA),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes berkenaan hanya dikesan apabila individu itu bergejala dan mendapatkan rawatan.

Beliau berkata 17 peratus daripada mereka yang pulang dari Sabah didapati positif Covid-19 pada hari ke-13, manakala individu yang pulang dari luar negara pula, 22 peratus didapati positif juga pada hari ke-13.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS