Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih: Darurat jejas demokrasi, cadang alternatif
Diterbitkan:  Nov 20, 2020 10:29 PM
Dikemaskini: 2:29 PM

NGO rerformasi pilihan raya Bersih menegaskan pilihan raya boleh dijalankan secara selamat dengan langkah berjaga-jaga yang tepat, walaupun di tengah-tengah wabak Covid-19.

Pengisytiharan darurat untuk menunda pilihan raya, kata Bersih "mungkin bukan cara terbaik untuk menegakkan demokrasi" negara.

"Bersih berpendapat bahawa membenarkan keadaan darurat untuk menangguhkan pilihan raya akan menciptakan precedent (pendulu) yang dapat menjejaskan demokrasi negara kita kerana mereka yang berkuasa seperti perdana menteri dapat menunda pilihan raya ketika keadaan tidak menguntungkan mereka.

"Termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bahwa darurat hanya dapat diisytiharkan dengan alasan keselamatan awam, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam," katanya.

Bersih berkata memandangkan parlimen sedang bersidang, kerajaan dapat mengemukakan usul rang undang-undang atau pindaan baru untuk menunda pilihan raya dengan dukungan sekurang-kurangnya dua pertiga anggota parlimen.

"Penundaan pilihan raya berdasarkan keputusan eksekutif semata-mata seharusnya tidak menjadi praktik demokratik kerana negara masih memiliki cabang perundangan sebagai salah satu cabang pemerintahan yang diperlukan untuk terus berfungsi sebagai lembaga semak dan imbang kepada kerajaan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Bersih, beberapa negara telah membuktikan pilihan raya dapat dijalankan dengan aman walaupun ketika wabak, mengambil contoh Singapura, Korea Selatan, New Zealand, Perancis, Australia dan Jerman.

Bagaimanapun, untuk pilihan raya kecil yang akan datang, termasuk PRK Batu Sapi, Bersih menyarankan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya membenarkan lebih banyak pemilih mengundi sebagai pengundi yang tidak hadir.

Kata Bersih, perlu ada mekanisme baru untuk pilihan raya dalam "situasi yang tidak biasa", seperti dengan melarang kempen fizikal dan menggantinya dengan kempen di media arus perdana, memperpanjang tempoh berkempen dan masa pengundian, serta menambah jumlah tempat mengundi.

Di samping itu, Bersih berkata langkah berjaga-jaga terhadap Covid-19 perlu dipertingkat pada hari pengundian, seperti dengan melakukan pemeriksaan suhu, meminta pegawai pilihan raya memakai pelindung wajah, menggunakan berus untuk menanda jari pemilih yang telah mengundi dengan dakwat yang kekal, serta membersih dan membasmi kuman tempat mengundi.

"Sekiranya darurat menjadi kaedah untuk menangguhkan pilihan raya sehingga wabak berakhir, apakah itu bermakna orang-orang di Batu Sapi, atau di mana-mana kawasan pilihan raya yang akan diadakan atau pilihan raya umum ke-15 yang akan datang akan terus tidak mempunyai wakil di parlimen (jika wabak berpanjangan) sehingga satu atau dua tahun juga?

"Bagaimana suara rakyat di Batu Sapi dapat didengar di parlimen selepas ini," soal Bersih.

Hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Batu Sapi pada awalnya dijadualkan pada Isnin lalu, manakala hari pengundian dijadualkan pada 5 Disember.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh pada 18 Nov lalu berkata PRK kerusi parlimen Batu Sapi tidak akan diteruskan dan satu tarikh lain akan ditetapkan untuk PRK itu susulan pengisytiharan darurat tersebut.

Lihat Komen
ADS