Malaysiakini
BERITA

Persatuan penganjur acara mohon k'jaan izinkan majlis keramaian terkawal

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Nov 2020, 12:04 pagi

Persatuan Perkhidmatan Acara India Malaysia (MIAE) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi perhatian khusus terhadap industri penganjuran majlis yang terjejas teruk selepas penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ini kerana menurut presidennya K Sivakumar industri berkenaan merupakan satu-satunya sektor yang ditutup penuh semasa pandemik Covid-19 melanda.

"Kita boleh nampak pasar malam masih dibenarkan beroperasi. Pusat beli-belah yang merupakan salah satu kluster penting dalam penularan wabak Covid-19 dalam gelombang ketiga juga boleh terus beroperasi.

"Tetapi, dewan dan tempat-tempat lain menganjurkan acara awam dan persendirian, ditutup.

"Justeru kami merayu kerajaan mengambil serius perkara ini dan memberi kelonggaran kepada sektor perkhidmatan acara untuk beroperasi dengan SOP yang ketat seperti ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya pada sidang media di Dewan Shenga, Batu Caves, semalam.

Terdahulu, MIAE yang merangkumi hampir 26 subsektor dalam industri acara mencadangkan kerajaan mengembangkan langkah sokongan terhadap industri itu melalui Skim Hibernasi Industri Acara.

Antara cadangan dibuat oleh MIAE - yang mewakili lebih 500 syarikat industri pengacaraan - ialah:

  • Skim subsidi upah yang disesuaikan
  • Meminta kerajaan memberikan subsidi sewa dewan perkahwinan sebanyak 30 peratus daripada sewa asal kepada para peniaga yang menyewa premis berkenaan dengan tujuan mengekalkan dewan perkahwinan selama enam bulan.
  • Memberi bantuan geran sebanyak RM5,000 melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan(GKP) secara one off kepada peniaga-peniaga kecil dalam industri perkahwinan.
  • Memberikan diskaun untuk levi pekerja asing 2021 terutamanya pekerja berkemahiran tinggi.
  • Skim Pinjaman oleh institusi kewangan yang disokong oleh pihak kerajaan dengan faedah rendah atau sebagainya.
  • Pembayaran KWSP/Perkeso pihak majikan/syarikat dihentikan terus secara bersasar bagi mengurangkan belanja akibat ketiadaan kerja/kontrak pengacaraan.
  • Pertimbangan moratorium bank komersial untuk industri acara yang terjejas akibat situasi semasa. Ini adalah kerana kebanyakan majikan atau syarikat perlu menjelaskan hutang semasa termasuk pinjaman lot kedai, kenderaan perniagaan dan lain-lain.

Sivakumar berkata tindakan sebegitu boleh menyelamatkan lebih 20,000 orang pekerja tempatan yang kehidupan mereka bergantung kepada industri terbabit.

"Buat masa ini, syarikat atau peniaga kecil di industri ini mengalami kerugian 100 peratus dan tidak dapat menampung kos operasi syarikat.

"Impak PKPB ini berlaku secara langsung dan berantai kepada para pembekal kami dan seterusnya kepada pekerja mereka," katanya lagi.

Sementara itu, pengusaha Dewan Shenga, T Indran (gambar bawah), berkata tindakan kerajaan tidak membenarkan acara diadakan dalam dewan merugikan pengusaha-pengusaha premis sebegitu di seluruh negara.

"Saya sewa dewan ini RM20,000 sebulan untuk 15 tahun. Bagaimana saya nak membuat bayaran bulanan jika pendapatan saya terjejas hampir 100 peratus?

"Di tempat-tempat ibadat masih membenarkan 30 orang untuk berkumpul. Tapi, di dewan nak buat acara dengan 30 orang tidak dibenarkan.

"Kami nak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan ini agar memberi nafas kepada perniagaan kami," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan