Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khaled mahu MP diberi kebebasan sokong atau tolak belanjawan
Diterbitkan:  Nov 21, 2020 12:56 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Semua ahli parlimen wajar diberi kebebasan dan ruang untuk membuat pendirian sama ada menyokong, menolak atau berkecuali semasa Belanjawan 2021 diundi minggu depan, kata seorang pemimpin kanan Umno.

Menyatakan pandangannya hari ini Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada sebab mengapa ahli parlimen didesak membuat pemilihan secara en bloc (berkumpulan) ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang tidak dibentuk melalui kerjasama rasmi, teratur dan kemas.

"Atas dasar itu, saya percaya setiap ahli parlimen perlu diberi kebebasan dan ruang untuk membuat pilihan dan mengundi secara peribadi berdasarkan conscience untuk menyokong, berkecuali atau menolak Belanjawan 2021," katanya.

Isu Belanjawan 2021 semakin menarik perhatian ramai ketika nasibnya bakal menentukan hayat kerajaan PN dan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Ketika kedudukan sebenar sokongan diterima ahli parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri terus menjadi persoalan, wujud sekurang-kurangnya dua kumpulan berbeza dalam Umno.

Ketika sebahagian daripadanya menawarkan sokongan bersyarat kepada kerajaan - dan disindir pemimpin PAS sebagai laksana hikayat Puteri Gunung Ledang - sebahagian yang lain pula bertegas mahu parti mereka memberikan sokongan kepada belanjawan berkenaan.

Antara tokoh kanan yang mahu ahli parlimen diberi kebebasan membuat pilihan ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Setiausaha BN Annuar Musa berkata, kenyataan dibuat Tengku Razaleigh bersifat peribadi kerana mengikut sistem whip, ahli parlimen mesti membuat pendirian berdasarkan arahan yang dikeluarkan seperti menyokong semua rang undang-undang dibawa kerajaan.

Mohamed Khaled berkata sokongan bersifat en bloc ke atas sesuatu usul parlimen tidak semestinya mencerminkan kekuatan parti.

Sebaliknya, kata bekas menteri besar Johor itu, parti akan dianggap tidak mempunyai kepelbagaian idea, kepelbagaian pendirian dan kebebasan untuk menyatakan pendirian yang demokratik.

Menurutnya jika seseorang ahli parlimen itu yakin peruntukan dan inisiatif dalam Belanjawan 2021 memerlukan pembaikan atau tidak menepati kepentingan golongan sasaran, mereka wajar menyatakan pendirian tersebut walaupun berbeza dengan pendirian parti atau en bloc.

"Berbeza pendirian bukan pengkhianatan tetapi menurut tanpa akal adalah sebesar-besar khianat.

"Rakyat tidak memilih seorang ahli parlimen untuk menjadi wakil yang terpisah dari denyut nadi pemilih mereka," katanya.

Tambah Mohamed Khaled Belanjawan 2021 mempunyai banyak kebaikan tetapi ia juga memerlukan penyelarasan semula untuk menjadikan ia lebih baik.

"Insya-Allah jika ia dilakukan, ahli parlimen akan menggunakan nurani baik mereka untuk mengundi dengan demokratik demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Lihat Komen
ADS