Malaysiakini
BERITA

'Hanya 10% penduduk dalam PKPD pentadbiran jalani ujian Covid-19'

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Nov 2020, 2:19 tengahari

Hanya 10 peratus penduduk di kawasan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) pentadbiran menjalani ujian saringan Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Perintah itu dikenakan di kawasan dengan risiko penularan wabak yang tinggi.

"Kawasan yang dikenakan PKPD pentadbiran misalnya, saya rasa jika tidak silap, kerajaan akan buat (ujian saringan) kepada 10 peratus penduduk.

"Bukan semua; kita tak buat semua," katanya dalam wawancara bersama portal kesihatan Codeblue.

Noor Azmi berkata demikian ketika menjelaskan pendekatan ujian saringan bersasar oleh Kementerian kesihatan (KKM).

Di bawah penguatkuasaan PKPD pentadbiran, penduduk tidak dibenarkan meninggalkan kawasan dan perlu kekal di rumah.

Hanya ketua isi rumah dibenarkan keluar untuk membeli makanan dan keperluan lain.

Sebelum ini, kerajaan beberapa kali berkata ujian saringan secara massa tidak perlu dilakukan, atas dasar kadar jangkitan yang rendah.

Dalam taklimat khas di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, di Malaysia sebanyak 76.4 ujian dilakukan bagi setiap 1,000 penduduk dengan kadar positif dua peratus.

Katanya, negara lain yang melakukan lebih banyak ujian kerana kadar positif yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Noor Hisham memaklumkan yang kerajaan sedang meningkatkan penggunaan kit ujian pantas (RTK) antigen, misalnya untuk menyaring pekerja.

Dalam wawancara itu, Noor Azmi juga setuju yang lebih banyak kes positif akan dikesan melalui ujian saringan massa memandangkan Covid-19 menular dalam komuniti.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan