Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Vaksin Covid-19 Pfizer dijangka dapat kelulusan UK minggu ini'
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 1:03 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

GLOBAL l Britain dijangka memberi kelulusan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal, Pfizer dan BioNTech pada minggu ini, walaupun pihak berkuasa Amerika Syarikat belum berbuat demikian, lapor portal media,Telegraph pada hari Ahad.

Memetik sumber kerajaan, Telegraph melaporkan, pengawal selia Britain akan memulakan penilaian terhadap vaksin oleh kedua-dua syarikat itu dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diberitahu untuk bersedia mulai 1 Disember ini.

Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS, Jumaat lalu berkata, satu pertemuan akan dibuat pada 10 Disember depan bagi membincangkan kelulusan vaksin berkenaan.

Semalam, Jabatan Kesihatan United Kingdom tidak memberikan sebarang komen mengenai jangkaan bila vaksin pertama akan dikeluarkan.

Jurucakapnya berkata, proses kelulusan dari Agensi Penguatkuasaan Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA) tidak tertakluk kepada kerajaan dan boleh mengambil masa yang lama berikutan keperluan untuk menilai data akhir daripada Pfizer.

"Perancangan yang besar dibuat bagi memastikan perkhidmatan kesihatan bersedia untuk mengeluarkan vaksin Covid-19," kata jurucakapnya.

Britain, minggu lalu, secar a rasmi memohon MHRA menilai kesesuaian bagi vaksin Pfizer dan BioNTech.

Britain telah menempah 40 juta dos dan menjangkakan akan menerima 10 juta dos bagi melindungi kesihatan lima juta rakyatnya yang mungkin dapat digunakan menjelang akhir tahun ini jika ia diluluskan.

- Reuters

Lihat Komen
ADS