Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih 2.0 selar usaha Pahang lantik Adun tanpa pilihan raya
Diterbitkan:  Nov 24, 2020 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menempelak usaha kerajaan Pahang untuk melantik lima anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa melalui proses pilihan raya.

Bersih menyifatkan tindakan itu memberikan mutlak kepada Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail melantik pihak yang setia padanya sebagai penyokong kerajaan dalam dewan.

“Bersih 2.0 amat risau akan lima kerusi bonus ini akan menjadi MB Pahang sebagai panglima perang yang bukan sahaja tidak dapat dipertanggungjawabkan oleh pembangkang, bahkan sekutunya dalam kerajaan,” katan Bersih.

Minggu lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri bagi melantik lima Adun, tanpa melalui proses pilihan raya.

Langkah kontroversi itu mendorong Adun pembangkang keluar dewan terbabit sebagai tanda protes.

Sementara itu, Bersih turut menolak keras kenyataan Wan Rosdy bahawa lantikan tersebut tiada motif politik dan kerajaan negeri memerlukan Adun tambahan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Bersih mengutarakan empat asas, mengapa mereka berpendapat demikian:

  • Adun Pahang hanya bermesyuarat 11 hari dalam tahun 2019 dan tiada keperluan membayar elaun ratusan ribu untuk lima orang Adun lagi.

  • Perkhidmatan lebih baik dapat disediakan melalui pendanaan yang lebih baik badan kerajaan, bukannya dengan menambah bilangan Adun.

  • Dengan peningkatan pengundi tahunan sekitar dua peratus, Pahang mempunyai nisbah pengundi Adun keempat paling rendah (19,619 pengundi pada 2018) di Semenanjung, di belakang Selangor (43,142), Johor (32,464) atau Kedah (31,847).

  • Sekiranya Pahang memerlukan lebih banyak Adun, kerajaan negeri perlu meminda perlembagaan negeri untuk menambah jumlah kerusi, bukannya mencipta kerusi lantikan.

Meskipun menolak keras idea Adun lantikan, Bersih menyokong sistem wakil rakyat tanpa kawasan pilihan raya.

“Sekiranya legislatif aktif menyemak kerajaan dengan pelbagai jawatankuasa pilihan khas, wakil rakyat tanpa kawasan ini dengan kepakaran polisi mungkin dapat menyumbang secara substantif bagi pembentukan undang-undang dan polisi,” jelasnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS