Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Kebanyakan hilang kerja dari sektor kilang, perhotelan dan F&B
Diterbitkan:  Nov 25, 2020 11:38 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Menurut rekod Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), sejumlah 95,995 individu diberhentikan kerja sejak Januari hingga 13 November 2020.

Kadar pengangguran rasmi pada bulan September adalah pada 4.6 peratus, bermaksud ada 737, 500 orang yang tidak bekerja.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menyatakan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kuala Kedah Azman Ismail, semalam.

Sebilangan besar mereka yang diberhentikan kerja tahun ini adalah pekerja kilang dan dalam sektor perhotelan, makanan dan minuman, pergudangan dan runcit.

Sektor profesional, teknikal, pentadbiran, perkhidmatan sokongan dan pembinaan juga teruk terjejas.

Menjawab soalan berasingan dari Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris, Saravanan berkata kadar pengangguran bagi September 2020 adalah 4.6 peratus, bersamaan dengan 737,500 penganggur.

Ia menunjukkan sedikit peningkatan, iaitu 0.1 peratus, dari bulan sebelumnya (741.600 orang menganggur).

Selain itu, dia memaklumkan bahawa majoriti penganggur tidak memohon bantuan daripada EIS.

Data itu juga menunjukkan pengangguran telah meningkat dari suku pertama tahun 2020. Kadar pengangguran pada suku itu adalah 3.5 peratus.

Sebagai perbandingan, kadar pengangguran Singapura pada bulan September adalah 3.6 peratus.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang, bertanya kepada menteri sama ada inisiatif program Prihatin kerajaan, SME Prihatin dan Penjana berjaya menurunkan kadar pengangguran di kalangan belia atau tidak.

Antara program di bawah inisiatif tersebut merangkumi subsidi upah, insentif untuk mengambil pelatih dari institut pengajian dan program peningkatan kemahiran.

Saravanan berkata penurunan kadar pengangguran secara umum, iaitu dari 5.3 peratus pada Mei kepada 4.7 peratus pada Ogos, adalah hasil daripada inisiatif berkenaan.

Jumlah kehilangan pekerjaan juga telah berkurang "setiap bulan" sejak Julai, katanya lagi.

Menurut kementerian itu, jumlah hilang pekerjaan pada Jun adalah 18,579, Julai (16,660) dan Oktober (7,310).

Dia bagaimanapun tidak memberikan angka kehilangan pekerjaan untuk bulan Ogos dan September.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS