pendapat

Mula-mula Dr Mahathir Mohamad mengajak PAS menari rentak perkauman. Presiden Umno itu menjemput Presiden PAS menghadiri pertemuan perpaduan Melayu ekoran isu kuota bumiputra dan kedudukan istimewa Melayu yang dibangkitkan oleh gabungan pertubuhan-pertubuhan Cina, Suqiu.

PAS tidak layan dan sampai sekarang pertemuan itu belum menjadi kenyataan. PAS berhujah, orang Melayu tidak berpecah. Yang wujud, jawab PAS, ialah peralihan sokongan masyarakat Melayu dari Umno ke PAS.

PAS tidak mahu menari mengikut rentak Mahathir. PAS menang dalam pusingan pertama ini. Pendirian PAS yang tidak perkauman itu mendapat sokongan luas masyarakat bukan Melayu.

Kemudiannya muncul pula isu panas membabitkan PAS dengan DAP mengenai isu negara Islam. Maka terbukalah peluang bagi Mahathir dan Barisan Nasional (BN) pimpinannya untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA).

Akhbar-akhbar perdana milik Umno dan MCA menjadi batu api melaga-lagakan pemimpin tertentu PAS dan DAP. Akhirnya wujud keretakan besar dalam BA yang baru dua tahun ditubuhkan. DAP bertindak keluar daripada BA. Maka tinggallah BA dengan tiga parti yang berasaskan sokongan massa Melayu (PAS, Keadilan dan PRM).

Saban hari media massa perdana itu menggambarkan PAS sebagai sebuah parti Islam yang ekstremis dan militan. Berikutan itu, timbul isu Kumpulan Mujahidin Malaysia yang kemudian ditukar kepada nama yang lebih sesuai oleh jentera propaganda BN - Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Ini diikuti dengan tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang kebanyakannya ahli PAS yang didakwa anggota kumpulan KMM. Maka bertambah parah imej PAS di kalangan rakyat bukan Melayu dan Islam. Dan Mahathir merasakan dia menang dalam pusingan kedua ini untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap PAS.

Mahathir selamanya akan menganggap PAS cabaran sebenarnya dalam politik Melayu di Malaysia ini sejak parti itu ditubuhkan pada 1951. Dia sendiri mempunyai pengalaman peribadi kerana pernah tewas dalam pilihanraya umum 1969 di tangan bekas Presiden PAS, Haji Yusuf Rawa.

Simpati terhadap PAS

Mahathir nampak isu negara Islam and KMM mungkin menggugatkan sokongan bukan Islam terhadap PAS. Tetapi sokongan di kalangan rakyat Melayu dan Islam terhadap PAS adalah sebaliknya.

PAS mendapat simpati di kalangan rakyat Melayu dan Islam apabila mereka melihat Mahathir menggunakan polis dan ISA untuk melemahkan parti Islam itu secara tidak adil. Kecaman terbuka dan kadang-kadang keterlaluan sesetengah pemimpin DAP dalam isu negara Islam terhadap PAS, bukan sahaja menjejaskan sokongan orang Melayu dan Islam terhadap DAP (kalau ada), malah mereka mula mencurigainya.

Isu negara Islam hidup dan bertenaga di kalangan rakyat Melayu dan Islam di negeri ini. Mahathir jelas tidak mahu membenarkan PAS sahaja memonopoli isu itu. Kali ini Mahathir membuat anjakan rentak politiknya. Kalau sebelum ini PAS tidak mahu diajak menari lagu perkauman, kini Mahathir pula bersedia bertandang ke gelanggang PAS untuk sama-sama menari mengikut rentak PAS.

Sebagai seorang ahli politik dan strategik yang pandai merebut peluang (meminjam falsafah politik Mao ZeDong), maka pada 29 September lalu - lebih dua minggu selepas serangan 11 September di Amerika Syarikat - Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Dalam nafas yang sama Mahathir berkata, jika orang bukan Islam mahu menganggap negara ini sebuah negara sekular pun boleh. Pengisytiharan itu ada alasan politiknya. Selepas serangan 11 September itu, Amerika melancarkan perang ke atas pengganas. Tetapi tindakan Amerika dibaca oleh umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, sebagai serangan ke atas umat Islam dan dunia Islam.

Pengisytiharan negara Islam

Apabila Amerika menyerang Afghanistan, kemarahan umat Islam semakin meluas terhadap Amerika. Mahathir menari lagu baru, tidak lagi isu perpaduan assabiyah Melayu, sebaliknya Perdana Menteri Malaysia yang keempat ini, tanpa dirujuk kepada Parlimen dan Majlis Raja-raja Melayu, mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Bagaimana boleh wujud sebuah negara Islam jika Perlembagaan Persekutuan pada asasnya mendukung sistem sekular? Majlis Peguam Negara, walaupun terlewat membuat pernyataan, menegaskan Malaysia bukan sebuah negara teokratik tetapi negara sekular.

Mungkin tidak sekular 100 peratus seperti perlembagaan Amerika Syarikat, tetapi prinsip-prinsip penerapan Islam dalam pentadbiran negara dan Perkara 3 Perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, masih tidak melayakkannya dipanggil sebuah negara Islam dari segi undang-undang.

Sedangkan, sebuah negara Islam atau sekular mesti bergerak atas landasan undang-undang, bukan atas perisytiharan lidah seorang Perdana Menteri. Di sinilah sumbangnya rentak muzik dan lagu politik Mahathir. Presiden Umno itu berkata, Malaysia sekarang sebuah negara Islam.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik pula berkata, Malaysia masih sebuah negara sekular. Perisytiharan Mahathir itu didorong, secara sedar atau tidak, kerana beberapa faktor.

Pertamanya untuk mendapatkan sokongan rakyat Melayu dan Islam di Malaysia bahawa Umno juga memperjuangkan sebuah negara Islam seperti PAS.

Bezanya, menurut Mahathir, PAS mengambil jalan ekstremis dan militan untuk menubuhkan negara Islam, tetapi Umno, katanya melalui pendekatan yang sederhana yang lebih mengutamakan isu bukan bentuk.

Keduanya, pada pertimbangan Mahathir, orang Melayu dan Islam tidak akan marah sangat jika kerajaan BN pimpinannya menahan aktivis Islam di kalangan ahli dan penyokong PAS atas alasan membahayakan keselamatan negara.

Ketiganya, bak kata pepatah membunuh dua ekor burung dengan satu batu, Mahathir sebenarnya menghantar isyarat kepada Presiden George W Bush dan pentadbiran Amerika di Rumah Putih bahawa Mahathir juga menentang keganasan dan ekstremis Islam di Malaysia.

Dua wajah

Dengan itu, dunia Barat tidak akan lagi mengkritik kerajaan BN pimpinannya yang melanggar hak asasi manusia, termasuk menggunakan ISA menahan tanpa bicara. Mahathir cuba memberitahu bahawa Malaysia di bawah Mahathir dan BN akan tetap menjadi kawan baik Amerika.

Pelabuhan Malaysia boleh dikunjung armada tentera Amerika. Perjanjian di antara Mahathir-Casper Weinberger, bekas Setiausaha Pertahanan Amerika, yang tidak diumumkan, akan tetap dihormati oleh kerajaan BN.

Pelaburan dan modal dari Amerika sangat diharapkan oleh Mahathir bagi memulihkan ekonomi Malaysia. Kepada seluruh dunia, Mahathir memperkenalkan sebuah negara dengan dua wajah. Ke sebelah timur, wajah Islam. Ke sebelah barat, wajah sekular.


HASSAN KARIM ialah pemimpin PRM.