Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: RUU persendirian hanya selepas urusan k'jaan selesai
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 10:01 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini dibawa Dr Mahathir Mohamad dan ahli Parlimen pembangkang lain, hanya akan dibentangkan pada sidang kali ini selepas semua urusan kerajaan lain selesai.

Perkara itu sekali lagi dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.

"Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.

"Sehubungan dengan itu, urusan-urusan lain termasuk usul persendirian hanya akan dibahaskan selepas semua urusan Kerajaan selesai," katanya bagi menjawab soalan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri).

Lim dalam pertanyaan lisannya membangkitkan mengapa usul tidak percaya terhadap perdana menteri daripada anggota Parlimen tidak diberi keutamaan, memandangkan usul ini berkait rapat dengan keabsahan kerajaan.

Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini dilihat sebagai ujian litmus bagi kepemimpinan Muhyiddin dan dia baru saja melepasi rintangan pertama apabila Belanjawan 2021 diluluskan hari ini pada peringkat dasar atau bacaan kedua.

Bagaimanapun masih ada cabaran menanti pentadbiran Perikatan Nasional dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 17 Disember.

Dewan Rakyat telah menerima 25 usul undi tak percaya dan dua usul undi percaya terhadap Muhyiddin.

Sidang akan diteruskan dengan perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Setelah belanjawan diluluskan, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sejumlah rang undang-undang sepanjang dua hari terakhir sidang.

Usul undi tidak percaya dibawa Mahathir, yang merupakan ahli Parlimen Langkawi, dan tiga anggota parlimen yang menyokongnya, serta tujuh dari Warisan, Amanah (11), PKR (seorang) dan DAP (seorang).

Dua ahli Parlimen Amanah, iaitu Khalid Samad dan Hanipa Maidin masing-masing telah memfailkan dua usul undi tidak percaya.

Lihat Komen
ADS