Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Menang atau kalah, pembangkang patut tolak belanjawan'
Diterbitkan:  Nov 27, 2020 1:49 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian berkata bahawa pembangkang sepatutnya meneruskan penolakan terhadap Belanjawan 2021, walau apa pun keputusannya.

Baru berkata ini kerana belanjawan tersebut tidak adil dan apa yang disuarakan pembangkang telah diabaikan oleh kerajaan.

"Sebab untuk membantah belanjawan ini sangat asas. Belanjawan ini tidak adil dan saksama.

"Sama ada kita berjaya atau tidak adalah perkara lain sama sekali. Ini adalah prinsip paling utama di sebalik pengundian," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Belanjawan 2021 diluluskan melalui undi suara di peringkat dasar, atau bacaan kali kedua. di Dewan Rakyat semalam.

Percubaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar untuk pengundian belah bahagi gagal selepas hanya disokong 13 ahli Parlimen, kurang dua orang daripada jumlah sokongan minimum yang disyaratkan.

Baru merupakan salah seorang yang menyokong untuk mengadakan pengundian belah bahagi.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang mendedahkan bahawa ketua pembangkang Anwar Ibrahim di saat akhir meminta wakil rakyat PH untuk tidak melakukan undi belah bahagi, membangkitkan sekutunya dalam Amanah dan DAP.

Anwar berkata dia tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ketua Parlimen DAP Anthony Loke juga berkata terdapat bahagian dalam belanjawan yang disokong PH.

Bagaimanapun Baru berpendapat kompromi yang dibuat pihak kerajaan sebenarnya tidak jelas.

Selain menolak Belanjawan 2021 kerana tidak adil, Ahli parlimen Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu juga berkata ia harus ditolak untuk menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional yang menurutnya tiada mandat.

Anwar telah berjanji bahawa pembangkang akan meminta undi blok semasa perbahasan peringkat jawatankuasa. Di peringkat itu, belanjawan setiap kementerian akan dibahaskan dan diundi satu persatu.

Sementara itu, ahli Parlimen PKR Hassan Karim yang bangun untuk menyokong undian belah bahagi mengakui bahawa tindakannya bertentangan dengan keputusan parti.

"Saya mengikut hati nurani saya, bukan keputusan parti.

"Saya sudah beritahu kepemimpinan parti bahawa saya bangun, saya juga bersedia untuk dikenakan tindakan," kata anggota Parlimen Pasir Gudang itu dipetik laporan The Star.

Lihat Komen
ADS