Putrajaya belum memuktamadkan rancangan untuk Projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur – Singapura.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed memaklumkan perkara itu dalam kenyataan media hari ini susulan terdapat laporan yang mendakwa projek itu tidak akan melibatkan Singapura.
Jelas Mustapa atau juga dikenali sebagai Tok Pa berkata proses rundingan terhadap beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Malaysia bagi menambahbaik projek masih lagi sedag dijalankan.
"Kedua-dua negara mempunyai tempoh sehingga 31 Disember 2020 bagi melakukan proses rundingan tersebut.
"Kerajaan akan membuat pengumuman selepas kata putus dicapai dan proses rundingan tersebut selesai," katanya.
Baru-baru ini, FMT memetik sumber yang mendakwa bahawa Malaysia sedang mempertimbangkan untuk landasan projek RM110 bilion itu berakhir di Johor Bahru, sekali gus tidak melibatkan Singapura.
Projek ini dimulakan semasa pentadbiran Najib Razak, bertujuan untuk menyediakan landasan kereta api h Bandar Malaysia yang merupakan hartanah 1MDB ke Singapura.
Menurut Straits Times Singapura, Kementerian Pengangkutan negara pulau itu mengakui bahawa Malaysia telah mengusulkan "beberapa perubahan", tetapi laporan itu tidak menyatakan perincian.
Kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Singapura, pihak mereka "memberi komitmen penuh" untuk merealisasikan projek yang mereka percaya akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Projek ini terhenti setelah pentadbiran Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018.
PH ketika itu mahu menangguhkan projek berkenaan susulan kosnya.
Pada masa itu, pentadbiran PH tidak bersedia membatalkan projek tersebut secara langsung kerana kos pampasan yang perlu dibayar.