Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guru muzik dan al-Quran dibenar ajar bersemuka mulai esok
Diterbitkan:  Nov 27, 2020 6:17 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Guru muzik dan al-Qruan dibenarkan mengajar secara bersemuka mulai esok, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan rayuan pusat dan guru-guru muzik.

“Ketua Pengarah MKN tadi telah membangkitkan perkara ini di dalam mesyuarat tadi dan kita sebenarnya membuat keputusan, iaitu kita bersetuju untuk membenarkan guru muzik ini untuk mengajar secara one-to-one.

“Begitu juga dgn guru al-Quran misalnya untuk mengajar one-to-one,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata demikian merujuk rayuan Persatuan Pusat Muzik dan Guru Muzik Malaysia menerusi kenyataan pada 12 November lalu yang memohon agar diberi pertimbangan khas bagi urusan pengajaran.

Organisasi yang disertai lebih 400 anggota itu memberi jaminan sedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN dalam mengekang penularan kes Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail berkata MKN juga akan turut meneliti beberapa perkara lain secara holistik.

"Dan mungkin perkara-perkara lain kita sedang meneliti, kita minta tadi MKN melihat secara menyeluruh bukan sahaja dikalangan guru muzik dan guru al-Quran tetapi juga guru tuisyen one-to-one atau pun cadangan-cadangan lain dengan SOP yang akan ditentukan oleh pihak MKN dan KKM.

"Tapi untuk peringkat awal ini kita bersetuju untuk benarkan mereka (guru muzik dan guru al-Quran)," katanya.

Sementara itu, mengulas waktu operasi pasar harian sepanjang tempoh PKPB, Ismail berkata kerajaan bersetuju melanjutkan sehingga ke jam 4.00 petang.

"Sidang khas hari ini berbincang mengenai perkara ini dan bersetuju untuk melanjutkan operasi pasar harian bermula jam 10.00 pagi sehingga 4.00 petang dengan penglibatan dan pengawasan pihak Rela serta SOP ketat yang telah ditetapkan.

"Perlanjutan ini akan berkuat kuasa mulai, esok 28 November 2020," tambah Ismail.

Lihat Komen
ADS