Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mansuh jawatan pengerusi dibincang Bersatu esok

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang akan berlangsung secara maya esok antara lain dijangka membincangkan pemansuhan jawatan pengerusi parti.

Menurut anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof, isu tersebut telah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti.

“Mengenai pemansuhan jawatan pengerusi, perkara itu betul dan bukan ura-ura. Kita dah bincang pun dan saya rasa mendapat sokongan kebanyakan ahli untuk memantapkan pengurusan parti.

“Sebabnya kita tidak mahu ada dua kapten dalam satu kapal, jadi kita cuma mahu ada presiden,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini dengan perbincangan bertajuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 terbitan Bernama TV di Kuala Lumpur hari ini.

Jawatan itu sebelum ini disandang Dr Mahathir Mohamad sebelum keahlian beliau dalam Bersatu ditamatkan.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata pemansuhan jawatan pengerusi akan memerlukan pindaan terhadap perlembagaan parti.

Buat pertama kali perhimpunan agung tahunan parti itu akan diadakan secara telesidang dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata persidangan akan disertai oleh perwakilan dari seluruh negara yang berkumpul di pejabat badan perhubungan negeri serta hotel tertentu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS