Wanita PKR akan menyertai kempen kesedaran keganasan berdasarkan gender oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kempen dinamakan "Orange the World" itu akan berlangsung selama 16 hari, bermula 25 Nov hingga 10 Dis 2020.

“Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkenaan keganasan berdasarkan gender.

“Bagi menunjukkan solidariti dalam isu ini, dan dalam usaha menghentikan keganasan terhadap wanita dan mengembalikan hak mereka, Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR juga mengambil inisiatif untuk berpakaian warna oren bagi merancakkan kempen ini,” kata Ketua Srikandi Lembah Pantai Raiyan Abdul Rahim dalam kenyataan.

Katanya lagi, Adun Selangor juga akan turut serta dalam kempen ini termasuk Adun Kota Anggerik Najwan Halimi.

Menurut Raiyan, keganasan wanita dalam bentuk fizikal, seksual dan mental amat meluas pada masa ini.

Jelasnya, tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19 turut menyaksikan peningkatan kes keganasan terhadap wanita dan insiden lain seperti penceraian.

Katanya lagi, Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh turut menegaskan bahawa pemimpin wanita perlu peka dan mendalami isu-isu berkaitan hak dan kebajikan wanita .

“Beliau juga menekankan peranan dan penglibatan wanita dalam setiap peringkat kepimpinan termasuklah kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan," katanya lagi.

Raiyan berharap kempen selama 16 hari itu dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya membela hak dan kebajikan wanita, di saat keganasan dan diskriminasi terhadap golongan itu masih merupakan antara isu utama dalam masyarakat.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama mewarnai dunia ini dengan warna oren,” katanya lagi.