Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2021: PN menang undi belah bahagi pertama
Diterbitkan:  Nov 30, 2020 2:26 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa perbelanjaan pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara undi belah bahagi.

Hasil pengundian menyaksikan 105 menyokong dan 95 menentang, manakala 20 ahli parlimen tidak hadir.

Mereka yang tidak hadir di bangku kerajaan semasa pengundian kira-kira jam 2 petang hari ini ialah bekas perdana menteri Najib Razak (BN-Pekan), Presiden Umno, Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Selain mereka itu, Masir Kujat (PSB-Sri Aman), Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong), Michael Teo (PKR-Miri), Christina Liew (PKR-Tawau) dan lapan anggota parlimen Warisan turut tidak hadir.

Terdahulu, Ketua Whip PKR Johari Abdul mencadangkan undi belah bahagi, selepas tamatnya perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan pengurusan dan pembangunan untuk Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 anggota parlimen lain, yang merupakan jumlah minimum bagi membolehkan proses itu dibuat.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kemudian membenarkan permintaan itu dan menangguhkan sidang selama 20 minit untuk proses undian.

Sebelum itu, sesi penggulungan dilakukan oleh lima menteri JPM dimulakan oleh Dr Maximus Ongkili, Mohd Redzuan Md Yusof, Mustapa Mohamad, Takiyuddin Hasan dan Dr Zulkifli Mohamad.

Dalam Belanjawan 2021, JPM diperuntukkan RM11.69 bilion dengan RM4.47 bilion untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Selepas JPM, RUU peringkat sama bagi kementerian kewangan akan dibahaskan dan diputuskan petang ini manakala sidang Dewan Rakyat hari ini turut dilanjutkan hingga jam 4 petang.

Lihat Komen
ADS